Liverpool terlepas peluang untuk merampas takhta pendahulu liga daripada Arsenal apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Anfield awal pagi ini.
Kedua-dua pasukan tahu kemenangan perlu diraih hari ini atas sebab berbeza. Jurulatih Arsenal, Mikel Arteta melihat ini sebagai peluang melebarkan kelebihan di persada liga.
Sementara jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp melihat kelebihan beraksi di tempat sendiri mampu pacu pasukan itu kembali sebagai pendahulu liga.
Malangnya, The Reds ketinggalan awal di hadapan penyokong mereka sendiri. Bek tengah The Gunners, Gabriel Magalhaes menanduk hantaran sepakan sudut kapten Martin Odegaard pada minit keempat untuk meletakkan pelawat di hadapan.
Tersentak, tuan rumah melancarkan serangan demi serangan ke atas kubu pertahanan pelawat diketuai Gabriel dan William Saliba.
Hasilnya, bintang Mesir, Mohamed Salah memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat separuh masa menerusi gol pada minit ke-29.
Bersambung pada babak kedua, Liverpool terus menggandakan asakan bagi mendapatkan gol kedua tetapi sentuhan penyudah serangan mereka masih tumpul.
Ini mendorong Klopp membawa masuk Harvey Elliott, Darwin Nunez dan Ryan Gravenberch untuk memperkemas serangan The Reds.
Malangnya, pertukaran tersebut langsung tidak berupaya merobohkan benteng pertahanan The Gunners. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan kedua-dua pasukan hanya dipisahkan satu mata di kedudukan dua teratas liga.
Perlawanan turut diselubungi kontroversi apabila Odegaard dikesan menggunakan tangan dalam kotak penalti. Bagaimanapun, tiada tindakan daripada pengadil mengenai insiden berkenaan sekaligus mencetuskan kemarahan tuan rumah.
Sofascore memilih Odegaard sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini. Pemain tengah Denmark itu mendapat markah 7.9 mata, 0.2 mata lebih baik daripada Salah.