Liverpool mengukuhkan status sebagai pendahulu liga setelah menewaskan Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Vitality itu, kedua-dua pasukan bermula sedikit perlahan dengan penguasaan bola dilihat seimbang.
Ketumpulan jentera serangan menyaksikan tiada jaringan dapat dijelmakan sekaligus mengakhiri babak pertama dengan keputusan 0-0.
Bersambung babak kedua, Liverpool tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi penyerang, Darwin Nunez pada minit ke-49.
Skuad bimbingan Jurgen Klopp terus menambah duka tuan rumah apabila Diogo Jota menyumbat gol kedua pasukan hasil bantuan Cody Gakpo pada minit ke-70.
Sembilan minit berselang, Jota terus menjadi pemusnah dengan jaringan kedua peribadinya dalam perlawanan ini yang juga gol ketiga buat Liverpool.
Ketika aksi memasuki masa tambahan, Darwin Nunez berjaya menjaringkan gol keempat perlawanan sekaligus menyaksikan keputusan berakhir, Bournemouth 0-4 Liverpool.
Kemenangan ini memastikan The Reds terus gah di tangga teratas liga dengan 48 mata, lima mata di hadapan Manchester City yang kurang satu perlawanan.
Selepas ini, anak-anak buah Jurgen Klopp bakal melayani kunjungan Chelsea di Anfield manakala Bournemouth akan berdepan West Ham United di gelanggang lawan.