EPL: Liverpool Hampiri Kejuaraan, Tewaskan West Ham
MakanBola
Liverpool FC

Liverpool semakin menghampiri kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) ke-20 apabila menewaskan West Ham United di Anfield.

Selepas dikejutkan Fulham 3-2 di Craven Cottage, anak buah Arne Slot mahu bangkit mendapatkan kemenangan. The Hammers pula memburu kemenangan buat kali pertama sejak 28 Februari lalu.

Sehari sebelum perlawanan, The Reds mendapat tonik semangat apabila pencabar terdekat mereka, Arsenal diikat 1-1 dengan Brentford.

Penjaga gol Brazil, Alisson Becker kembali berada dalam kesebelasan utama Liverpool. Kapten, Jarrod Bowen dan Mohammed Kudus mengetuai serangan West Ham.

Separuh masa pertama menyaksikan Liverpool hampir mendahului menerusi Luis Diaz seawal minit ketujuh. Malangnya, sepakan lencong beliau dinafikan Alphonse Areola.

Seterusnya, giliran Curtis Jones pula menguji kecekapan Areola pada minit ke-14. Walau bagaimanapun, percubaan beliau berjaya ditangkap kemas bekas penjaga gol Paris Saint-Germain (PSG) itu.

The Reds akhirnya mendahului pada minit ke-18 menerusi Diaz. Hantaran jauh Mohamed Salah mudah ditolak pemain sayap Colombia itu melepasi Areola.

Tersentak, West Ham berusaha mencari gol penyamaan. Mereka hampir menyamakan kedudukan menerusi Carlos Soler pada minit ke-21 tetapi berjaya disekat Alisson.

Bekas bek tengah Arsenal, Costantinos Mavropanos kecewa apabila tandukannya pada minit akhir babak pertama sekadar melepasi palang. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Liverpool menggandakan tekanan untuk mendapatkan gol kedua perlawanan.

Alexis Mac Allister hampir melakukannya pada minit ke-47. Sepakan percuma deras yang diambil bintang Argentina itu berjaya dinafikan Areola.

Slot memasukkan Cody Gakpo dan Andrew Robertson untuk menambah kreativiti serangan The Reds. Pengurus West Ham, Graham Potter pula memasukkan Vladimir Coufal.

Peluang terbaik The Hammers hadir menerusi Bowen pada minit ke-67 selepas menerima hantaran Lucas Paqueta. Percubaan beliau pantas disekat Alisson sebaik menyedari kehadirannya.

West Ham berusaha mencari jaringan penyamaan. Gol tersebut hadir pada minit ke-86 apabila Robertson tertolak bola hantaran Aaron Wan-Bissaka ke dalam gawang sendiri.

Penyokong Liverpool kembali ceria apabila Virgil van Dijk menanduk gol kemenangan melepasi Areola pada minit ke-89. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawana.

Keputusan ini menyaksikan Liverpool kini mengumpul 76 mata, 13 mata di hadapan Arsenal. West Ham kini di tangga ke-17 dengan 35 mata.

The Reds berpeluang menjadi juara liga dengan syarat Ipswich Town menewaskan The Gunners pada 20 April. Selain mengharapkan Arsenal tewas, mereka juga perlu menewaskan Leicester City pada hari sama.

West Ham pula akan melayan kunjungan kelab tercorot liga, Southampton pada 19 April.

Sofascore memilih Diaz sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.1. Beliau jauh meninggalkan Wan-Bissaka yang meraih 7.7 mata.