Kelab Merseyside, Liverpool kembali bergelar pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengalahkan Burnley 2-0 di Turf Moor awal pagi tadi.
Dengan Arsenal hanya turun menentang West Ham United pada awal pagi 29 Disember ini, ini peluang keemasan buat anak buah Jurgen Klopp untuk merampas takhta peneraju liga.
Manakala Burnley berharap dapat merekodkan satu lagi kemenangan selepas mengalahkan Fulham 2-0 di Craven Cottage beberapa hari sebelumnya.
Babak pertama menyaksikan The Reds meraih pendahuluan awal menerusi Darwin Nunez pada minit keenam.
Gol tersebut memberi kelegaan kepada penyerang Uruguay itu kerana mengakhiri kemarau gol dalam 12 perlawanan semua kejohanan termasuk EPL.
Pelawat terus menggandakan asakan bagi menambah kelebihan mereka. Malangnya, banyak percubaan Liverpool digagalkan oleh barisan pertahanan The Clarets diketuai Jordan Beyer.
Kerja keras yang ditampilkan barisan pertahanan Burnley dan penjaga gol mereka, James Trafford memastikan kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Liverpool menyangka telah menambah gol menerusi bintang muda Harvey Elliott.
Bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan oleh pembantu pengadil video (VAR) selepas mengesan Mohamed Salah pada kedudukan ofsaid dan menghalang penglihatan Trafford.
Klopp kemudiannya memasukkan Curtis Jones, Dominik Szoboszlai, Luis Diaz dan Diogo Jota untuk memburu gol kedua mereka.
Gol yang dicari akhirnya muncul pada minit ke-90 menerusi Jota selepas menerima hantaran Diaz. Ini gol pertama Jota selepas pulih daripada kecederaan otot yang dialami pada akhir November lalu.
Biarpun tewas, Sofascore memilih Trafford sebagai pemain terbaik perlawanan selepas merekodkan 8.1 mata untuk perlawanan hari ini.
Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. The Reds kembali bergelar pendahulu liga dengan 42 mata. Manakala Burnley pula berada di tangga ke-19 dengan 11 mata.
The Clarets bakal bertandang ke Villa Park dengan menentang tuan rumah, Aston Villa pada 30 Disember ini. Sementara Liverpool pula menentang Newcastle United pada 2 Januari 2024.