Man City kembali memintas Nottingham Forest di tangga keempat apabila menewaskan Everton di Goodison Park.
City memburu kemenangan agar dapat kembali dalam kelompok empat pasukan terbaik. Everton pula memburu kemenangan agar dapat menjarakkan kedudukan dengan Manchester United.
Kevin de Bruyne terus diberi kepercayaan mengetuai The Citizens. Armando Broja dibawa masuk menggantikan Beto untuk mengetuai serangan The Toffees.
Separuh masa pertama menyaksikan City mendakwa mereka sepatutnya dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-13.
Ini selepas Savinho mendakwa beliau dijatuhkan dalam kotak penalti. Walau bagaimanapun, penalti tidak diberi hasil semakan pegawai VAR, Darren England.
Seminit selepas itu, penjaga gol Everton, Jordan Pickford bertindak pantas menepis percubaan pemain Brazil, Matheus Nunes.
City bernasib baik gawang mereka tidak bocor pada minit ke-30. James Tarkowski hampa apabila tandukannya terkena tiang gol.
Kedua-dua pasukan berusaha memecah kebuntuan perlawanan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada separuh masa kedua, Everton berusaha mencari gol pendahuluan untuk menceriakan penyokong di Goodison Park.
Mereka hampir melakukannya pada minit ke-47 menerusi Jarrod Branthwaite. Tandukan beliau berjaya dikeluarkan penjaga gol City, Stefan Ortega sebelum melintasi garisan gol.
Tatkala tuan rumah dilihat semakin hampir membolosi gawang pelawat, City akhirnya mendahului menerusi bintang muda mereka, Nico O’Reilly pada minit ke-84.
Tujuh minit selepas itu, giliran Mateo Kovacic mencetak nama sebagai penjaring. Kemenangan 2-0 City membantu pasukan itu memintas Nottingham Forest di tangga keempat dengan 59 mata.
Everton pula kekal di tangga ke-13 dengan 39 mata, satu mata di hadapan Manchester United. Sofascore memilih Tarkowski dan O’Reilly sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.7.
Selepas ini, Everton akan menentang Chelsea di Stamford Bridge pada 26 April. City pula akan menentang satu lagi pencabar untuk slot Eropah, Aston Villa pada 23 April.