Advertising
EPL: Man United ‘Sedekah’ Tiga Mata Kepada Bournemouth
MakanBola
Premier League

Momentum kemenangan yang diperolehi Manchester United pada perlawanan lepas gagal diteruskan apabila dimalukan AFC Bournemouth di gelanggang keramat mereka, Old Trafford.

Skuad The Red Devils yang berjaya menewaskan Chelsea FC pada Khamis dikejutkan dengan jaringan penyerang Bournemouth, Dominic Solanke yang menyambar hantaran lintang Lewis Cook seawal minit kelima.

Seakan tersentak dengan jaringan tersebut, Manchester United cuba mengatur gerakan bagi mencari jaringan penyamaan melalui tandukan Harry Maguire, namun ditolak keluar oleh penjaga gol Bournemouth, Neto.

Ad

Disiplin bertahan yang kemas yang dipamerkan barisan pemain Bournemouth nyata menyukarkan jentera serangan Manchester United untuk mencetak gol.

Ad

Ketika sedang asyik menyerang, Manchester United cemas apabila Bournemouth menambah jaringan kedua menerusi tandukan Marcus Tavernier namun jaringan itu dibatalkan kerana kedudukannya dan Dominic Solanke dalam keadaan ofsaid.

Ad
Ad

Lima minit sebelum babak pertama berakhir, Dominic Solanke berpeluang menambah koleksi jaringannya namun tiang menjadi penghalang sekaligus menyelamatkan gawang Manchester United dari dibolosi.

Ad

Tamat separuh masa pertama, Manchester United 0-1 AFC Bournemouth.

Bersambung separuh masa kedua, anak-anak buah Erik Ten Hag bermula agresif dengan pelbagai siri serangan dilancarkan ke arah kubu gawang Bournemouth namun masih gagal menembusinya.

Bournemouth juga tidak ketinggalan untuk menguji gawang gol Manchester United yang dikawal oleh Andre Onana dengan beberapa hantaran lintang yang merbahaya tetapi penyudah yang tumpul ternyata mengecewakan pasukan pelawat.

Kemasukan Philip Billing di separuh masa kedua ternyata membuahkan hasil apabila pemain tersebut berjaya menanduk masuk gol kedua pasukan Bournemouth pada minit ke-68 hasil hantaran Marcus Tavernier.

Enam minit berselang, gawang Manchester United bocor lagi, kali ini menerusi tandukan pemain pertahanan, Marco Senesi yang melonjak tinggi untuk menjaringkan gol yang membuatkan penyokong Manchester United di stadium terdiam.

Usaha Manchester United untuk mencari sekurang-kurangnya jaringan saguhati tampak sukar disebabkan oleh kekebalan barisan pertahanan pelawat yang mengecewakan para pemain Manchester United.

Keputusan Manchester United 0-3 AFC Bournemouth kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Dengan keputusan ini, Manchester United kekal di tangga keenam liga dengan 27 mata manakala AFC Bournemouth melonjak dua anak tangga ke tempat ke-13 liga dengan 19 mata.

Manchester United akan berdepan aksi getir apabila bakal bertandang ke Anfield untuk menentang pasukan Liverpool manakala Bournemouth akan melayani kunjungan Luton Town minggu hadapan.