Manchester City mudah menewaskan cabaran Nottingham Forest 2-0 di laman sendiri untuk mengutip kemenangan keenam liga berturut-turut.
City bermula garang apabila Phil Foden meledak gol pertama seawal minit ke-7 perlawanan setelah menerima lorongan cantik daripada pertahanan kanan, Kyle Walker.
Selang 7 minit kemudian, penyerang sensasi City pula mencetak nama selaku penjaring kedua pasukan hasil kesilapan pemain Nottingham Forest, Nuno Tavares. Matheus Nunes mudah menghantar bola untuk memastikan Erling Haaland menanduk masuk gol tersebut menewaskan Matt Turner.
City berjaya mendominasi perlawanan dan menamatkan separuh masa pertama dengan jaringan 2-0.
Permulaan babak kedua City dicemari insiden yang tidak diingini apabila pemain tengah, Rodri dilayangkan kad merah setelah mencekik Morgan Gibbs-White sewaktu bertengkar lidah.
Pep Guardiola kemudian memasukkan Kalvin Phillips untuk mengisi kekosongan Rodri dan terpaksa menukarkannya dengan pemain sayap, Jeremy Doku.
Nathan Ake juga dibawa masuk menggantikan Julian Alvarez untuk menyerap tekanan yang diberikan pemain Nottingham Forest.
City tetap unggul menguasai perlawanan walaupun terpaksa bermain dengan 10 pemain pada babak kedua dengan 58% penguasaan bola ke atas Nottingham Forest.
Forest turut mempunyai peluang keemasan untuk menembusi gawang city apabila merekodkan 10 percubaan namun hanya 3 sahaja yang tepat ke arah gawang gol.
Tamat perlawanan, City berjaya mengalahkan Nottingham Forest 2-0 walaupun bermain dengan 10 pemain hasil jaringan awal pada babak pertama perlawanan.
Manchester City kini gah berada ditangga pertama liga dengan rekod bersih 6 kemenangan manakala Forest mengutip kekalahan ketiga untuk musim ini.