Manchester United bangkit daripada ketinggalan sebelum meraih keputusan 1-1 dengan Bournemouth di Stadium Vitality.
United mahu bangkit selepas tewas 1-0 kepada Wolverhampton Wanderers. The Cherries pula mahu meneruskan rekod tanpa kalah mereka kepada empat perlawanan.
Luke Shaw membuat kemunculan pertama dalam kesebelasan utama The Red Devils buat kali pertama dalam tempoh 435 hari. Pengurus Bournemouth, Andoni Iraola mengekalkan kesebelasan utama sama yang seri dengan Crystal Palace pada 19 April lalu.
Separuh masa pertama menyaksikan United berusaha mencari gol awal menerusi kombinasi Bruno Fernandes, Rasmus Hojlund dan Alejandro Garnacho.
Kobbie Mainoo hampir meletakkan pelawat di hadapan pada minit ke-11. Malangnya, percubaan beliau berjaya disekat penjaga gol Sepanyol, Kepa Arrizabalaga.
Bournemouth cemas apabila Tyler Adams dikesan melakukan kekasaran ke atas Garnacho pada minit ke-21. Selepas menyemak insiden tersebut dengan VAR, pengadil, Peter Bankes melayangkan kad kuning kepada pemain tengah Amerika Syarikat itu.
Tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi Antoine Semenyo enam minit selepas itu. Semenyo tenang menewaskan penjaga gol United, Andre Onana.
Tersentak, The Red Devils menggandakan asakan untuk memburu jaringan penyamaan. Garnacho hampir melakukannya pada minit ke-37 tetapi tolakannya berjaya dinafikan Arrizabalaga.
United terus mencari jaringan penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, United berusaha mencari jaringan penyamaan tetapi tidak berhasil.
Percubaan terbaik United hadir menerusi Harry Maguire pada minit ke-63. Walau bagaimanapun, tandukannya berjaya ditangkap Arrizabalaga.
Situasi ini mendorong jurulatih pelawat, Ruben Amorim memasukkan Mason Mount, Manuel Ugarte dan Victor Lindelof untuk mengubah momentum perlawanan.
Bournemouth kemudiannya dipaksa beraksi dengan 10 pemain. Ini selepas VAR mengesan kekasaran yang dilakukan Evanilson ke atas Noussair Mazraoui.
The Red Devils terus berusaha mencari gol penyamaan. Gol yang dicari akhirnya hadir menerusi Hojlund pada minit akhir perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan United kini di tangga ke-14 dengan 39 mata. The Cherries pula di tangga ke-10 dengan 50 mata.
Sofascore memilih Bruno Fernandes sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.4.
Keputusan ini bukan persiapan ideal buat United yang bakal menentang Athletic Bilbao untuk aksi separuh akhir Liga Europa UEFA (UEL) pada 2 Mei. Bournemouth pula akan menentang Arsenal pada 4 Mei.