Manchester United gah menundukkan cabaran West Ham United untuk mendapatkan tiga mata berharga dalam saingan liga.
United turun dengan misi besar untuk menewaskan West Ham yang dibimbing oleh David Moyes setelah The Red Devils tumpas ditangan West Ham pada aksi Disember lalu.
Rasmus Hojlund membuka tirai jaringan apabila rembatan beliau berjaya menewaskan penjaga gol West Ham, Alphonse Areola pada minit ke-23 perlawanan.
United lebih banyak melakukan serangan berbanding West Ham United namun hanya satu gol yang mampu dijelmakan untuk babak pertama perlawanan.
Memasuki separuh masa kedua, giliran Alejandro Garnacho mencetak nama selaku penjaring apabila menjaringkan gol 3 minit selepas wisel ditiupkan oleh pengadil.
Erik Ten Hag kemudian memasukkan Raphael Varane dan Scott McTominay yang menggantikan Lisandro Martinez dan Kobbie Mainoo.
Garnacho sekali lagi berjaya menjaringkan gol setelah mudah merembat bola lorongan daripada McTominay pada minit ke-84 permainan untuk gol ketiga United.
West Ham bergelut untuk membina serangan terhadap United apabila skuad kendalian Erik Ten Hag lebih dominan dalam perlawanan ini.
Tamat perlawanan, Manchester United berjaya menewaskan West Ham dengan jaringan selesa 3-0 dan kini United memintas West Ham untuk menduduki tangga ke-6 liga setelah mengumpul 38 mata.