Manchester United menarik nafas lega apabila berjaya mengikat pendahulu liga, Liverpool seri tanpa jaringan dalam aksi Liga Perdana Inggeris.
Liverpool yang turun sebagai tuan rumah mempamerkan aksi lebih dominan dengan penguasaan bola jelas berpihak kepada pasukan The Reds.
Manchester United pula memanfaatkan kepantasan Alejandro Garnacho untuk melancarkan serangan balas ke kubu Liverpool yang dikawal rapi Alisson Becker.
Jentera serangan Liverpool yang diketuai Mohamad Salah berusaha untuk menembusi benteng Manchester United namun tiada jaringan yang dijelmakan di sepanjang 45 minit pertama.
Separuh masa pertama, Liverpool 0-0 Manchester United.
Kembali dari rehat, Liverpool terus mengasak untuk memecah kebuntuan jaringan namun percubaan Trent Alexander-Arnold sedikit tersasar pada minit ke-65.
Kedua-kedua penjaga gol mempamerkan aksi cemerlang apabila berusaha menyelamatkan gawang masing-masing dari dibolosi pasukan lawan.
Aksi bertambah panas apabila bola terkena tangan pemain pertahanan Manchester United, Luke Shaw namun pengadil tetap meneruskan perlawanan menyebabkan suasana di stadium menjadi kecoh seketika.
Sebelum wisel penamat dibunyikan, Diogo Dalot dilayangkan kad kuning kedua kerana membantah keputusan pengadil perlawanan.
Layangan kad merah tersebut tidak mengubah sebarang keputusan perlawanan yang berakhir Liverpool 0-0 Manchester United.
Aksi liga seterusnya menyaksikan Liverpool akan menerima kunjungan pencabar mereka, Arsenal di Anfield manakala Manchester United akan berdepan West Ham United di tempat lawan.