Manchester United mencatatkan kekalahan kesembilannya di liga apabila tumpas di tangan West Ham United dalam aksi Liga Perdana Inggeris
Perlawanan berlangsung seimbang di awal permainan dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagi mencari jaringan pendahuluan.
Peluang terbaik untuk Manchester United membuka tirai jaringan hadir menerusi percubaan jarak dekat Alejandro Garnacho minit ke-35 namun berjaya dinafikan penjaga gol lawan, Alphonse Areola.
Tiada jaringan dapat dihasilkan kedua-dua pasukan sehingga separuh masa pertama berakhir dengan keputusan West Ham United 0-0 Manchester United.
Bersambung babak kedua, giliran tuan rumah menguji pintu gol lawan menerusi tandukan Jarrod Bowen, tetapi penjaga gol Manchester United, Andre Onana cemerlang menepis keluar bola tersebut.
Jarrod Bowen akhirnya berjaya menembusi benteng Manchester United apabila tenang menyempurnakan hantaran lambung Lucas Paqueta pada minit ke-72 untuk menjadikan kedudukan 1-0 memihak tuan rumah.
Lima minit berselang, West Ham bijak terus menggandakan jaringan menerusi Mohammed Kudus yang bijak memanfaatkan kesilapan pemain Manchester United, Kobbie Mainoo.
Keputusan West Ham United 2-0 Manchester United kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
Selepas ini, Manchester United akan kembali ke laman sendiri untuk berdepan Aston Villa manakala West Ham United akan ke Stadium Emirates untuk bertemu pendahulu liga, Arsenal.