Manchester United dan Burnley sekadar mencatat keputusan seri di Stadium Old Trafford sekaligus kedua-dua pasukan terlepas peluang untuk memperbaiki kedudukan liga.
Masalah kecederaan yang masih menghantui United memaksa Erik Ten Hag untuk menggandingkan Casemiro dan Harry Maguire dibahagian pertahanan pasukan.
Burnley pula menurunkan kesebelasan terbaik dalam misi menumpaskan United dengan membariskan David Fofana dan Lyle Foster dibahagian serangan pasukan.
United bermula garang menerusi beberapa percubaan termasuk percubaan terbaik daripada Bruno Fernandes namun gagal menerjah jaring. Burnley turut memiliki peluang untuk menyerang tetapi aksi separuh masa pertama berakhir dengan keputusan seri 0-0.
Jaringan yang ditunggu-tunggu oleh penyokong United tiba pada minit ke-79 menerusi jaringan Antony yang berjaya memanfaatkan kesilapan pemain pertahanan Burnley.
Pada minit ke-85, Burnley dihadiahkan sepakan penalti setelah Andre Onana melakukan kekasaran terhadap Gudmundsson sewaktu mengeluarkan bola.
Pemain gantian, Zeki Amdouni tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan terikat seri 1-1.
Perlawanan tamat dengan keputusan seri 1-1 antara Manchester United dan Burnley sekaligus memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Manchester United kekal ditangga ke-6 liga dengan 54 mata manakala Burnley ditangga ke-19 dengan 24 mata.