Liga-liga utama Eropah termasuk Liga Perdana Inggeris dan persekutuan pemain bola sepak antarabangsa FIFPro melancarkan kes saman terhadap Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Saman ini dilancarkan kerana mereka mendakwa FIFA menyalahgunakan kuasa mereka dalam membentuk kalendar antarabangsa.
Ini kerana pertambahan perlawanan terutama format baru Kejohanan Kelab Dunia FIFA membabitkan 32 pasukan dilihat menambah beban bukan saja dari segi kecergasan dan kesihatan pemain.
Malah, lambakan perlawanan ini dijangka menggugat kepentingan ekonomi liga-liga negara yang terkesan. European League memfailkan saman tersebut bersama FIFPro kepada Suruhanjaya Eropah.
“Keputusan Fifa sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah berulang kali memihak kepada pertandingan dan kepentingan komersialnya sendiri, mengabaikan tanggungjawabnya sebagai badan pentadbir dan merosakkan kepentingan ekonomi liga kebangsaan dan kesejahteraan pemain.
“Tindakan undang-undang kini satu-satunya langkah yang bertanggungjawab untuk liga-liga Eropah dan kesatuan pemain untuk melindungi bola sepak, ekosistem dan tenaga kerjanya,” kata FIFPro dalam satu kenyataan.
Selain EPL, European League turut mewakili 39 badan pengelola liga dan 1,130 kelab di 33 negara termasuk Bundesliga, Serie A dan Liga Bola Sepak Inggeris (EFL). Meskipun bukan ahli organisasi berkenaan, La Liga turut menyertai tindakan saman tersebut.
Pada Mei lepas, FIFA menolak tuduhan bahawa badan induk itu tidak merujuk FIFPro dan Persatuan Liga Dunia (WLA) semasa membentuk format baru Kejohanan Kelab Dunia FIFA.
Kejohanan ini yang bakal menampilkan pasukan-pasukan berkaliber seperti Manchester City, Ulsan HD dan Flamengo bakal berlangsung dari 15 Jun hingga 13 Julai 2025 di Amerika Syarikat.