Advertisement
EPL: Trent Alexander-Arnold Bantu Liverpool ‘Rantai’ Man City
EPL
MakanBola
Premier League

Gol bek kanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold sudah cukup untuk membantu mereka mengikat Man City 1-1 di Stadium Etihad hari ini.

Perlawanan ini menyaksikan Haaland dan penyerang Mesir, Mohamed Salah masing-masing mengejar rekod tersendiri.

Penyerang Norway itu memburu rekod orang terpantas menjaringkan gol ke-50 dalam EPL. Sementara Salah pula memburu rekod orang terpantas menjaringkan gol ke-150 dalam EPL hari ini.

Babak pertama menyaksikan City lebih banyak mendominasi perlawanan bersesuaian dengan status mereka sebagai tuan rumah.

Bagaimanapun, mereka perlu menunggu sehingga minit ke-34 untuk membuka jaringan menerusi Haaland.

Kesilapan Alisson mengeluarkan bola segera direbut The Citizens untuk melancarkan serangan balas pantas sebelum disudahkan penyerang Norway itu.

Ini menjadikan beliau orang terpantas menjaringkan 50 gol dalam EPL dengan 38 perlawanan seperti dilaporkan akaun X Match of the Day.

Tersentak, Liverpool cuba bangkit mendapatkan gol penyamaan. Bagaimanapun, penyudah tumpul The Reds memastikan keputusan kekal 1-0 sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Jurgen Klopp memasukkan Luis Diaz dan Ryan Gravenberch bagi membantu Liverpool mendapatkan gol penyamaan.

Malangnya, sentuhan penyudah yang tumpul terus mengecewakan mereka. Dan Liverpool bernasib baik apabila gol Ruben Dias pada minit ke-68 tidak dikira oleh pengadil.

Ini selepas pengadil mengesan kekasaran yang dilakukan Manuel Akanji ke atas Alisson sebelum bek tengah Portugal itu menjaringkan gol.

Gol penyamaan yang dicari Liverpool akhirnya muncul pada minit ke-80 menerusi Alexander-Arnold. Bek kanan England itu meledakkan gol dari luar kotak penalti menewaskan Ederson.

Gol tersebut memastikan kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata pada akhir perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Liverpool memintas Arsenal di tangga kedua dengan 28 mata. Sementara City terus menerajui liga dengan 29 mata.

Selepas ini, kedua-dua pasukan akan kembali fokus kepada kempen di Eropah. The Citizens perlu menang ke atas RB Leipzig pada 29 November jika mahu mengungguli Kumpulan G UCL.

Sementara The Reds pula mahu mengungguli Kumpulan E Liga Europa dengan cuba meraih kemenangan ke atas LASK Linz pada 1 Disember.

Sofascore mengiktiraf Jeremy Doku sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.5 mata.