Advertising
Era Jurgen Klinsmann Bersama Korea Selatan Bakal Berakhir?
MakanBola
FA Korea

Meskipun mengemudi Korea Selatan ke peringkat separuh akhir Piala Asia, kedudukan pengendali Jerman, Jurgen Klinsmann kini dalam bahaya.

Ini selepas Korea Football News mendedahkan ramai peminat bola sepak Korea mahukan legenda Totteham Hotspur itu meletak jawatan sebagai jurulatih Pahlawan Taeguk.

Ad

Mereka berbuat demikian kerana Klinsmann gagal mencapai sasaran layak ke final Piala Asia 2023 dan menamatkan kemarau kejuaraan sejak tahun 1960.

Ad

Selain itu, penyokong Korea Selatan juga tidak berpuas hati dengan corak permainan taktikal yang diterapkan beliau dan terlampau bergantung kepada kemahiran individu pemain.

Situasi Klinsmann tidak dibantu dengan prestasi yang dipamerkan Korea Selatan sepanjang Piala Asia 2023.

Ad

Sepanjang kejohanan, Pahlawan Taeguk menjaringkan 11 gol dan dibolosi 10 kali. Ini termasuk dua gol yang dijaringkan Jordan dalam aksi separuh akhir Piala Asia 2023 baru-baru ini.

Ad

Enam daripadanya masing-masing disumbang oleh Lee Kang-in (Paris Saint-Germain) dan Son Heung-min (Tottenham Hotspur).

Ad

Dengan barisan pemain berbakat yang dimilikinya, Klinsmann dilihat tidak sepatutnya berdepan masalah mara ke pusingan seterusnya.

Malangnya, aksi Kumpulan E menyaksikan Korea Selatan bergelut merekodkan kemenangan ke atas Bahrain. Manakala dua lagi aksi kumpulan menentang Jordan dan Malaysia berakhir dengan keputusan seri.

Peringkat kalah mati pula menyaksikan Pahlawan Taeguk terpaksa bekerja keras sebelum menyingkirkan Arab Saudi di pusingan 16 pasukan terbaik dan Australia (suku akhir).

Namun begitu, aksi separuh akhir menentang Jordan mendedahkan kesukaran yang dihadapi Korea Selatan. Mengikut data Sofascore, mereka hanya merekodkan lapan percubaan tanpa sebarang percubaan tepat ke arah gol.

Dengan mengambil kira semua ini, penyokong Korea Selatan merasakan ini masa sesuai buat Klinsmann bertanggungjawab dan meletak jawatan.

Meskipun sedar dengan cakap-cakap pemecatan yang berlegar dalam kalangan media, bekas pengendali Jerman itu bertegas akan terus membimbing Korea Selatan.

“Saya tidak mempertimbang sebarang tindakan (perletakan jawatan). Saya rancang untuk pulang ke Korea bersama pasukan untuk menganalisis kejohanan ini dan berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) apa yang bagus dan apa yang tak bagus,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan seperti dilaporkan Chosun Sports.

Selain Klinsmann, penyokong Korea Selatan juga mahu Presiden KFA, Chung Mong-gyu meletak jawatan.

Ini kerana mereka merasakan beliau juga patut bertanggungjawab atas kegagalan kempen Korea Selatan dalam Piala Asia 2023.