Sejak kebelakangan ini, banyak keputusan yang dibuat pengurus Manchester United, Erik ten Hag dipersoal oleh penyokong.
Salah satu daripadanya ialah pemilihan Scott McTominay baik dalam kesebelasan utama mahupun sebagai pemain gantian.
Terbaru, pemain tengah antarabangsa Scotland itu masuk menggantikan bintang muda United, Kobbie Mainoo dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Nottingham Forest.
Perlawanan tersebut menyaksikan Forest menewaskan United 2-1. Ini sekaligus membantu mereka meraih kemenangan kedua berturut-turut di bawah bimbingan pengurus baru, Nuno Espirito Santo.
Biarpun tewas, Ten Hag menyifatkan kehadiran McTominay memperkukuh bahagian tengah The Red Devils. Malah, beliau menyifatkan mereka tidak bernasib baik dalam perlawanan itu.
“McTominay membawa tenaga (ke bahagian tengah). Saya fikir babak kedua kita beraksi dengan lebih bagus.
“Gol pertama bila dianalisis oleh anda (wartawan), ia tiada kena-mengena dengan bahagian tengah… Gol kedua berpunca daripada komunikasi yang teruk,” katanya seperti dilaporkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.
Ini penampilan ke-17 McTominay dalam EPL musim 2023-2024 bersama The Red Devils. Tempoh tersebut menyaksikan beliau muncul penjaring terbanyak dengan lima gol setakat ini.
Perlawanan United seterusnya ialah perlawanan The FA Cup membabitkan pasukan Liga Satu (divisyen ketiga England), Wigan Athletic pada 8 Januari 2024.
Bagaimanapun, komen tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati penyokong United di media sosial. Ramai percaya itu sekadar alasan untuk menutup persembahan buruk pemain-pemain Ten Hag terutama di bahagian tengah.
Dengan pengambilalihan saham 25% Sir Jim Ratcliffe hanya perlu menunggu kelulusan pihak berkaitan termasuk EPL, kedudukan Ten Hag di Old Trafford kini dalam bahaya.