Ketumpulan serangan Man United dari awal musim 2023-2024 meresahkan pengurus mereka, Erik ten Hag.
Situasi ini terserlah semasa United menentang kelab Liga Satu (divisyen ketiga England), Wigan Athletic dalam aksi pusingan ketiga The FA Cup awal pagi semalam.
Daripada 33 percubaan gol ke arah gawang Wigan, 14 berjaya ditepis atau diselamatkan penjaga gol Sam Tickle. Hanya dua gol dijaringkan menerusi Diogo Dalot dan Bruno Fernandes.
Keadaan ini tidak dibantu dengan rekod jaringan dalam liga. United hanya menjaringkan 22 gol dalam 20 perlawanan setakat ini.
Kebanyakan gol United disumbang oleh pemain tengah dan pertahanan kelab itu. Malah, penjaring terbanyak The Red Devils ketika ini ialah pemain tengah Scotland, Scott McTominay.
Dengan United memiliki ramai pemain muda di bahagian serangan seperti Alejandro Garnacho, Facundo Pellistri dan Amad Diallo, ten Hag melihat seorang penyerang senior bukan saja mengambil peranan sebagai mentor kepada mereka.
Malah, ini akan mendorong barisan penyerang United sedia ada seperti Marcus Rashford, Rasmus Hojlund dan Anthony Martial untuk meningkatkan prestasi mereka.
Lantas, tidak hairanlah Daily Mail mendedahkan The Red Devils mahu mendapatkan dua penyerang veteran Bayern Munich, Thomas Muller dan Eric Maxim Choupo-Moting.
Kedua-duanya berusia 34 tahun dan mendapat minit permainan yang terhad susulah prestasi bagus yang ditampilkan penyerang England, Harry Kane.
Bagaimanapun, Muller sudah menandatangani kontrak baru bersama Die Roten sekaligus meninggalkan Choupo-Moting sebagai pilihan alternatif ten Hag.
Pengurus Belanda itu bagaimanapun terpaksa menggunakan perpindahan pinjaman sekiranya mahu penyerang Cameroon itu di Old Trafford pada bulan ini.
Ini kerana United perlu mematuhi Peraturan Fair Play Kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL). Sekiranya mereka gagal, mereka berdepan hukuman daripada denda hingga pemotongan mata.