Awal pagi ini, Manchester City meraih kemenangan rutin 3-1 dalam perlawanan EPL menentang Leeds United. Tetapi Erling Haaland telah mencipta rekod tersendiri sebagai pemain EPL paling pantas menyumbat 20 gol dalam liga!
Dua gol Haaland dalam perlawanan tersebut hadir pada minit ke-51 dan 64 selepas menerima umpanan Jack Grealish. Dengan 20 gol EPL, penyerang Norway itu memecahkan rekod Kevin Phillips dengan 14 perlawanan berbanding legenda Sunderland itu (21 gol).
Haaland bukan sekadar mengatasi Phillips tetapi ramai penyerang legenda EPL lain seperti Andrew Cole (23 perlawanan), Ruud van Nistelrooy (26 perlawanan) dan Alan Shearer (29 perlawanan). Bagi mana-mana penyerang, mencapai sasaran 20 gol dianggap musim yang berjaya untuk mereka.
Tetapi yang paling menakjubkan ialah Haaland turut mengatasi sembilan pasukan EPL dari segi jaringan. Antara pasukan-pasukan tersebut ialah Chelsea (19 gol), Bournemouth (18 gol), Aston Villa (17 gol) dan Crystal Palace (15 gol).
Tidak mustahil jika penyerang Norway itu meneruskan rentak jaringannya sehingga akhir musim, Haaland boleh menggondol anugerah Kasut Emas EPL musim ini.