Awal pagi tadi, Manchester City mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan mengalahkan RB Leipzig 8-1 secara agregat. Tetapi semua ini takkan berlaku tanpa Erling Haaland yang meledakkan lima gol yang berkesudahan kemenangan 7-0 kepada tuan rumah.
Bekas penyerang Borussia Dortmund itu menyumbat tiga gol pada babak pertama dengan penalti pada minit ke-22, 24 dan minit akhir sebelum rehat. Haaland kemudiannya menambah dua lagi gol pada minit ke-53 dan 57 bagi menjadikannya pemain paling muda menjaringkan 30 gol UCL mengatasi Kylian Mbappe.
Dengan lima gol dijaringkan, tidak hairanlah pengulas perlawanan yang juga bekas penyerang Chelsea, Andy Townsend meluahkan rasa kagum terhadap ketajaman penyerang Norway itu di hadapan gol lawan. “Apa yang kita lihat ini amat menakjubkan,” katanya.
Jika tidak kerana keputusan pengurus City, Pep Guardiola mengeluarkannya dalam perlawanan, Haaland boleh saja mendapat hatrik berganda. Hal ini turut diakui bekas penyerang Molde itu dalam temubual pasca-perlawanan dengan CBS Sports.
“Saya beritahu dia (Guardiola) apabila saya dikeluarkan, ‘Saya sangat teringin mendapatkan hatrik berganda.’ Tetapi apa yang kita boleh lakukan? Saya terpaksa keluar,” katanya.
Guardiola secara berseloroh mempertahankan keputusannya itu kerana tidak mahu penyerang utamanya bosan selepas mencipta rekod baru dalam UCL.
“Kalau dia (Haaland) meraih pencapaian itu pada (usia) 22 tahun, kehidupan dia akan jadi membosankan,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan.
Tidak kira siapa lawan Manchester City di UCL selepas ini, banyak kelab termasuk Real Madrid tidak mahu dipadankan dengan mereka. Ini kerana mereka perlu membentuk pelan pertahanan yang berkesan bagi mengekang Haaland daripada menjaringkan gol.