Selangor optimis untuk meraih keputusan positif pada aksi final Piala FA 2024.
Hal ini dinyatakan oleh Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil yang melihat persiapan Gergasi Merah berjalan lancar.
“Kita ada impian, cita-cita dan harapan. Esok hari yang baik buat penyokong Selangor. Perlawanan ini bukan untuk saya tetapi pemain dan juga penyokong.
“Kita agak positif untuk mencapai impian dan kita nak beraksi untuk mendapatkan keputusan yang baik dan aksi yang baik,” katanya.
Pengendali muda berusia 44 tahun itu melaungkan keyakinan awal untuk melihat anak buahnya memperagakan aksi yang terbaik pada final kali ini.
“Setiap pasukan yang masuk ke final, peluangnya 50-50. Perlawanan juga masih belum dimainkan, kita juga hanya beberapa langkah untuk mendakap piala jadi kita akan lakukan yang terbaik,” jelas Nidzam Jamil ketika sesi sidang media pra-perlawanan Final Piala FA 2024.
“Kita ada standard yang ditetapkan dalam setiap perlawanan. Di Selangor, seri tidak mencukupi. Esok adalah aksi final, jadi kita akan lakukan yang terbaik.
“Saya harap ini permulaan kepada jalan yang baik buat Selangor pada masa hadapan. Ini bukan hanya tentang saya tetapi ia tetap dalam pasukan.
Selangor telah menjaringkan 14 gol dalam perjalanan ke final Piala FA dan menewaskan pasukan seperti Negeri Sembilan, Kuching City dan Terengganu.
Aksi antara JDT dan Selangor dijadualkan berlangsung pada 24 Ogos 2024 jam 9 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).