Turki menempatkan diri ke slot suku akhir Euro 2024 apabila menewaskan cabaran Austria dengan jaringan 2-1 di Stadium Red Bull Arena Leipzig.
Ralf Rangnick mempertaruhkan barisan pemain terbaik Austria seperti Konrad Laimer, Marcel Sabitzer, C. Baumgartner serta M. Arnautovic.
Turki pula menurunkan pemain-pemain bintang seperti Arda Guler, Baris Yilmaz dan Merih Demiral bagi aksi penting ini.
Turki tidak menunggu lama untuk mencetak gol pertama apabila Merih Demiral menjaringkan gol seawal minit pertama perlawaan.
Pemain tengah Turki, Orkun Kokcu dilayangkan kad kuning setelah mengasari Baumgartner pada minit ke-11 permainan diikuti pemain Austria, Romano Schmid pada minit ke-38.
Baumgartner sekali lagi dikasari oleh pemain Turki iaitu Ismail Yuksek menyaksikan pemain itu turut dilayangkan kad kuning sebelum tamat babak pertama.
Bermula babak kedua, Turki menggandakan usaha mencari gol dan akhirnya Merih Demiral sekali lagi muncul wira pasukan apabila meledak gol kedua Turki.
Merih Demiral menanduk masuk bola hantaran Arda Guler pada minit ke-59 perlawanan menjadikan kedudukan semasa 2-0.
Michael Gregoritsch menjaringkan gol pertama Austria setelah menerima bola hantaran Posch pada minit ke-66.
Austria cuba bangkit namun kemenangan kekal menjadi milik Turki apabila menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-1 ke atas Austria.
Turki berjaya melangkah ke suku akhir Euro 2024 dan bakal berhadapan dengan cabaran Belanda kelak.