Jerman meneruskan rekod tanpa kalah dalam Euro 2024 apabila mengikat Switzerland dalam aksi terakhir kumpulan A awal pagi tadi.
Kedua-dua pasukan menurunkan skuad terkuat masing-masing walaupun Jerman sudah mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir lebih awal. Jerman meletakkan Kai Havertz di hadapan manakala Breel Embolo menjadi harapan Switzerland sebagai peledak utama.
Perlawanan bermula dengan Jerman mempamerkan penguasaan dengan variasi hantaran-hantaran yang tepat.
Hasil penguasaan perlawanan, Jerman akhirnya berjaya menjaringkan gol pada minit ke-17 melalui Robert Andrich namun malang sekali gol tersebut dibatalkan selepas pengadil mengesan adanya kekasaran yang dilakukan Jamal Musiala melalui VAR.
Switzerland mula mendapatkan rentak permainan dengan corak yang lebih tersusun.
Penyerang FC Basel, Dan Ndoye meletakkan Switzerland di hadapan pada minit ke-28 hasil penyudah dari jarak dekat selepas menyambar hantaran lintang rakan sepasukan.
Ketinggalan satu jaringan, Jerman menggandakan usaha bagi mendapatkan jaringan penyamaan.
Tiada tambahan jaringan dihasilkan dan separuh masa pertama ditamatkan dengan kedudukan 1-0 memihak Switzerland.
Bersambung babak kedua, Jerman meneruskan penguasaan bagi mendapatkan jaringan penyamaan.
Tidak banyak yang mampu dilakukan Jerman bagi memandangkan disiplin Switzerland berada dalam keadaan yang sangat bersedia.
Jaringan yang ditunggu-tunggu tuan rumah akhirnya berlaku di hujung permainan melalui penyudah Nicklas Fullkrug yang menanduk kemas hantaran rakan sepasukan untuk melegakan ribuan penyokong sendiri.
Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1 dan keputusan tersebut menyaksikan Switzerland mengiringi Jerman ke pusingan 16 terakhir apabila menduduki tangga kedua kumpulan A.