Aksi separuh akhir EURO 2024 membabitkan Belanda dan England dijangka panas susulan perlantikan pengadil Jerman, Felix Zwayer.
BBC Sport melaporkan pemilihan Zwayer dianggap kontroversi disebabkan beliau pernah terlibat dalam skandal pengaturan perlawanan di Jerman pada tahun 2005.
Selepas didapati menerima rasuah berjumlah €250 (RM1,275) daripada seorang lagi pengadil bernama Robert Hoyzer, Zwayer digantung selama enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB).
Dan isu ini kemudiannya kembali panas pada 2021 gara-gara tuduhan yang dilemparkan bintang muda England, Jude Bellingham kepadanya. Pada ketika itu, Bellingham beraksi untuk kelab Borussia Dortmund.
Perlawanan pada 5 Disember 2021 itu menyaksikan Bayern meraih kemenangan 3-2 ke atas Dortmund di tempat lawan. BVB tidak berpuas hati dengan kualiti pengadilan Zwayer kerana menganugerahkan penalti kepada Bayern dan menafikan satu penalti buat mereka.
Bellingham yang ketika itu berusia 18 tahun menuduh pengadil Jerman itu terlibat dalam pengaturan perlawanan tersebut.
“Anda beri (peluang kepada) pengadil yang telah mengatur perlawanan sebelumnya (mengadili) perlawanan terbesar di Jerman. Apa yang anda harapkan?” katanya kepada perkhidmatan penstriman Viaplay.
Tuduhan tersebut dinafikan sekeras-kerasnya oleh Zwayer. Akibatnya, Bellingham dikenakan denda sebanyak £40,000 (RM241,000) oleh DFB.
UEFA dalam satu kenyataan menyatakan bahawa mereka menyokong Zwayer dan tiada perancangan untuk menukar pengadil lain. Perlawanan Belanda-England dijangka berlangsung pada awal pagi 11 Julai ini.
Zwayer bakal dibantu dua penolong pengadil, Stefan Lupp dan Marco Achmüller. Sementara seorang lagi pengadil Jerman, Bastian Dankert bertindak sebagai pegawai sistem bantuan video pengadil (VAR).