Portugal membuka kempen Kumpulan F EURO 2024 dengan kemenangan dramatik apabila menewaskan Republik Czech 2-1 hari ini.
Kedua-dua pasukan tahu mereka perlu menang jika ingin meraih kelebihan awal sebagai pendahulu kumpulan. Ini selepas kedua-dua pasukan mendapat berita Turkiye menewaskan Georgia 3-1 dalam aksi awal kumpulan.
Kesebelasan utama A Selecao yang dibimbing bekas pengurus Everton, Roberto Martinez diketuai Cristiano Ronaldo. Manakala tonggak tengah West Ham United, Tomas Soucek mengetuai cabaran Republik Czech.
Babak pertama menyaksikan Portugal tampil garang untuk mendapatkan gol awal. Ronaldo hampir meletakkan A Selecao di hadapan pada minit kelapan tetapi tandukannya tersasar.
Legenda Manchester United itu terus menjadi duri dalam daging kepada barisan pertahanan Czech yang diketuai Robin Hranac.
Ronaldo sekali lagi menguji kecekapan penjaga gol, Jindrich Stanek selepas menerima hantaran Bruno Fernandes pada minit ke-32. Malangnya, Stanek berjaya menafikan percubaan penyerang berusia 39 tahun itu.
Ronaldo terus berusaha menembusi gawang yang dikawal Stanek menerusi percubaan pada minit ke-45 tetapi gagal. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, perlawanan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan terus menggandakan asakan.
Republik Czech mencipta kejutan dengan mendahului pada minit ke-62 menerusi pemain tengah Lukas Provod. Selepas menerima hantaran daripada Vladimir Coufal, pemain tengah Slavia Prague itu melepaskan rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol Portugal, Diogo Costa.
Tersentak, Martinez pantas membuat beberapa pertukaran pemain termasuk memasukkan penyerang Liverpool, Diogo Jota.
Kehadiran Jota menambah sengat kepada barisan serangan A Selecao. Hasilnya, tekanan yang dikenakan oleh Ronaldo dan penyerang The Reds itu menyebabkan Hranac melakukan kesilapan dengan menampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-69.
Portugal menyangka telah meraih gol kemenangan menerusi Jota pada minit ke-87. Malangnya, gol tersebut dibatalkan selepas pegawai sistem bantuan video pengadil (VAR), Massimiliano Irrati mengesan Ronaldo pada kedudukan ofsaid sebelum gol Jota berlaku.
Tatkala Czech menyangka dapat membawa pulang satu mata, Francisco Conceicao muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-92.
Hranac cuba mengeluarkan bola tetapi tergelincir sekaligus membuka ruang buat Conceicao meledakkan jaringan pertamanya bersama A Selecao. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Portugal menduduki tangga kedua kumpulan di belakang Turkiye yang memiliki kelebihan jaringan. Sofascore memilih Vitinha sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.0.
Selepas ini, Portugal akan menentang Turkiye untuk aksi kedua Kumpulan F pada awal pagi 23 Jun. Manakala RepubliK Czech pula menentang Georgia pada 22 Jun.