Pusingan 16 terbaik Euro 2024 melibatkan aksi di antara Itali dan Switzerland pada awal pagi Ahad menyaksikan juara edisi lalu itu ditundukkan lawan di ranking ke-19 dunia dengan dua gol yang memukau.
Itali yang mara sebagai naib juara kumpulan B setelah terikat seri 1-1 menentang Croatia dalam aksi terakhir manakala Switzerland turut menempah tiket sebagai naib juara kumpulan A mengiringi Jerman.
Dengan ketiadaan Riccardo Calafiori yang digantung perlawanan, Itali memilih Gianluca Mancini untuk mengisi kekosongan itu manakala pemain tumpuan Switzerland, Xherdan Shaqiri memulakan aksi dari bangku simpanan.
Perlawanan bermula dengan seimbang dalam tempoh 20 pertama apabila kedua-dua pasukan tampil dengan beberapa hantaran pendek bagi memecahkan barisan pertahanan lawan
Peluang terbaik buat Switzerland membuka tirai jaringan adalah menerusi percubaan Breel Embolo dalam situasi satu lawan satu pada minit ke-23 namun penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma cemerlang menepis tendangan tersebut.
Ketika Itali rancak mengatur gerak, Switzerland hadir dengan satu serangan dari sebelah kiri oleh Ruben Vargas yang kemudiannya disudahkan dengan voli kencang kaki kiri Remo Freuler pada minit ke-37 untuk menewaskan Donnarumma.
Azzurri cuba bangkit memperkemas permainan akan tetapi Switzerland kebak mempertahan keputusan sehingga waktu rehat.
Separuh masa pertama tamat, Switzerland 1-0 Itali.
Babak kedua menyaksikan Switzerland terus mengganas dengan gol kedua menerusi rembatan lencong Ruben Vargas yang menerjah ke gawang Itali seminit selepas rehat untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Kekebalan benteng pertahanan Switzerland yang dikemudi bek Man City, Manuel Akanji berjaya menafikan beberapa gerakan yang cuba dilakukan oleh Federico Chiesa di samping aksi mantap Yann Sommer di pintu gol.
Penyerang Itali, Gianluca Scamacca memperoleh dua peluang terhidang untuk merapatkan kedudukan namun tiang menjadi penghalang sementara satu lagi rembatan beliau melambung tinggi melepasi palang.
Aksi di Olympiastadion, Berlin berakhir dengan keputusan 2-0 memihak Switzerland sekaligus meranapkan impian Itali untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sebelum ini.
Kemenangan ini membawa Switzerland ke peringkat suku akhir dan dijadualkan berdepan pemenang di antara England dan Slovakia yang akan berentap dalam satu lagi perlawanan pada awal pagi Isnin.