FA Cup: Manchester City Muncul Juara, Tewaskan Manchester United
Eropah
Manchester City
Advertisements

Hasrat Manchester City mengecapi treble musim ini semakin hampir menjadi realiti. Ini selepas City berjaya menjulang The FA Cup dengan menewaskan musuh setempat mereka dari Manchester, Manchester United 2-1 di Stadium Wembley hari ini.

Separuh masa pertama menyaksikan Citizens terlebih dahulu membuka jaringan menerusi kapten Ilkay Gundogan. Dalam tempoh 13 saat, pemain tengah Jerman itu melepaskan rembatan ke arah penjuru gawang United dengan David de Gea tergamam bila ia menembusi gawang.

Gol tersebut dianggap gol terpantas pernah dijaringkan di pentas final The FA Cup. Dari situ, anak-anak buah Pep Guardiola mendominasi perlawanan dengan Red Devils berusaha keras mempertahankan kubu pertahanan mereka.

Advertisements

Dan United bernasib baik apabila Casemiro tidak dibuang padang pada minit ke-11 selepas didakwa memijak kaki bek tengah City, Manuel Akanji.

Red Devils kemudiannya meraih gol penyamaan pada minit ke-33 menerusi kapten Bruno Fernandes. Ini selepas pembantu pengadil video (VAR) mendapati bola tandukan Aaron Wan Bissaka terkena tangan bekas kapten Aston Villa itu dalam kotak penalti.

Biarpun cuba dibantah pemain-pemain City, pengadil Paul Tierney tetap berpegang kepada keputusannya itu. Dan Fernandes tiada masalah menewaskan penjaga gol Citizens, Stefan Ortega.

Advertisements

Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat. Menariknya, ini kali pertama dalam sejarah final The FA Cup dua kapten pasukan yang berlainan menjaringkan gol di pentas final.

Separuh masa kedua menyaksikan City menggandakan serangan bagi mencari gol kedua. Dan mereka tidak menunggu lama apabila sepakan voli Gundogan menerjah jaring United buat kali kedua pada minit ke-51.

Gundogan menyangka telah mencipta hatrik pada minit ke-71. Tetapi keceriaan penyokong City tidak bertahan lama apabila gol tersebut dibatalkan selepas bekas pemain tengah Borussia Dortmund itu dikesan berada pada kedudukan ofsaid.

Advertisements

Anak-anak buah Erik ten Hag cuba bangkit memburu gol penyamaan buat kali kedua. Tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus gelaran trofi domestik berganda buat City.

Dengan kejayaan ini, anak-anak buah Guardiola semakin hampir mengulangi pencapaian treble yang dilakar United pada 1999. Kini, hanya tinggal Inter Milan sebagai penghalang kepada cita-cita mereka itu di pentas final Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Bagaimanapun, penyokong Citizens pastinya berharap Gundogan dapat kekal di Stadium Etihad. Dengan kontraknya bakal luput pada 30 Jun ini, beliau akan menjadi ejen bebas dan bebas bercakap dengan mana-mana kelab untuk mencari cabaran baru.

Advertisements

Ramai berharap ini bukan kali terakhir mereka melihat Gundogan menyarung jersi City terutama dengan final UCL selepas ini. Tetapi jika ini musim terakhir beliau bersama Citizens, maka pemain tengah veteran Jerman itu telah memberi hadiah paling bermakna kepada para penyokong City.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram