Advertisements
FA Korea Berpotensi Besar Digantung
Asia
MakanBola
Yonhap

Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) berpotensi dikenakan penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ini selepas Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan (MCST) selesai menjalankan audit khas ke atas badan induk bola sepak Korea Selatan itu.

Hasil audit mereka mendapati wujud 27 kes kesalahan undang-undang dan amalan perniagaan yang tidak sah membabitkan KFA.

Antara kes yang ditimbulkan ialah pelantikan jurulatih Korea Selatan, Hong Myung-bo tidak mengikut prosedur dan isu penyelewengan membabitkan pembinaan pusat latihan baru KFA di Cheonan.

Atas sebab itu, MCST mencadangkan 16 pegawai badan induk itu dikenakan tindakan disiplin termasuk presiden KFA, Chung Mong-gyu.

“Kami merancang untuk menuntut tindakan disiplin terhadap pihak yang bertanggungjawab, pembatalan dan pemulihan geran untuk permohonan subsidi palsu dan kehilangan faedah disebabkan oleh bayaran pendahuluan untuk bahan-bahan yang dibekalkan kerajaan,” kata ketua pegawai penyiasat MCST , Choi Hyun-joon.

Berita ini bukan saja mendapat liputan meluas portal media Korea seperti Sports Chosun, The Korea Times dan Yonhap. Malah, berita tersebut turut menjadi sebutan di negara Asia lain termasuk Indonesia dan Vietnam.

Panel audit turut menegaskan proses audit yang dijalankan tidak bertentangan dengan peraturan FIFA. Ini termasuk tidak menyentuh kebebasan dan autonomi KFA.

Ini selepas FIFA telah menghantar satu surat kepada MCST pada 25 Oktober lalu yang mahu autonomi dan kebebasan operasi KFA dihormati. Pada masa sama, mereka turut meminta KFA agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“Pihak kementerian menghormati statut FIFA dan menghormati kebebasan dan autonomi KFA. (MCST) berpandangan tentang perlantikan jurulatih kebangsaan, ramai orang menyatakan kekecewaan dengan proses membuat keputusan yang tidak adil dan kabur.

“Kami tidak percaya bahawa perkara ini merupakan satu pencabulan kepada polisi FIFA,” katanya.

Atas sebab itu, MCST mencadangkan tindakan keras diambil oleh KFA ke atas semua pegawai yang terlibat termasuk Mong-gyu. Seandainya MCST cuba menguatkuasakan hukuman, FIFA tiada pilihan melainkan untuk menggantung KFA.

Sekiranya perkara itu berlaku, Korea Selatan berdepan kemungkinan digantung daripada menyertai sebarang kejohanan bola sepak antarabangsa. Ini termasuk Piala Dunia 2026 seandainya pasukan itu berjaya layak selaku juara Kumpulan B.

Isu ini timbul tatkala Korea Selatan fokus menghadapi dua aksi kelayakan menentang Kuwait dan Palestin pada 14 dan 19 November ini.