Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) mengecam tindakan biadab penyokong Israel dalam aksi Liga Europa UEFA antara Ajax Amsterdam dan Maccabi Tel Aviv.
Kekecohan tercetus di luar Johan Cruyff Arena selepas tamat perlawanan antara kedua-dua pasukan pada 7 November (awal pagi 8 November). Ramai penduduk Amsterdam menyifatkan perkara ini terjadi angkara provokasi melampau penyokong Maccabi.
Beberapa hari sebelum perlawanan, penyokong kelab Israel itu bukan saja berkumpul di dataran dan melaungkan slogan pro-Israel. Malah, mereka turut bertindak mengoyakkan bendera Palestin yang dikibarkan di kediaman penduduk sekitar kota berkenaan.
Ahli majlis perbandaran Amsterdam, Jazie Veldhuyzen memaklumkan penyokong Maccabi turut bertindak memukul aktivis dan penyokong pro-Palestin sebelum perlawanan bermula.
Berang dengan apa yang berlaku, penduduk tempatan memilih membentuk kumpulan besar dan membelasah kelompok penyokong Maccabi.
“Mereka mula menyerang rumah-rumah penduduk Amsterdam yang ada bendera Palestin, jadi di situ sebenarnya keganasan bermula.
“Sebagai tindak balas, penduduk Amsterdam berkumpul dan membalas serangan yang dicetuskan pada Rabu lalu oleh samseng-samseng Maccabi,” katanya kepada Al-Jazeera.
Difahamkan lebih 10 orang cedera akibat pergaduhan tersebut. Susulan itu, Israel kemudiannya mengadakan penerbangan khas untuk membawa pulang lebih 2,000 rakyatnya atas alasan Belanda tidak selamat buat mereka.
FAP dalam satu kenyataan menyifatkan kekecohan yang tercetus di Amsterdam terjadi akibat sikap biadab penyokong Israel. Ini jelas menunjukkan bahawa FIFA dan UEFA perlu menggantung keahlian Israel gara-gara apa yang berlaku.
“PFA telah membentangkan FIFA dengan bukti yang banyak mengenai ungkapan kebencian sebegitu, namun tindakan konkrit masih kurang. Seperti yang ditekankan dalam cadangan baru-baru ini kepada Kongres FIFA, FIFA tidak dapat memastikan keselamatan dan Keselamatan peminat di sekitar perlawanan yang melibatkan pasukan Israel.
“Satu kejadian baru-baru ini di Greece di mana seorang lelaki Arab dipukul sehingga tidak sedarkan diri oleh sekumpulan penyokong Israel menggambarkan keperluan mendesak untuk campur tangan.
“Ketiadaan pertanggungjawaban untuk keganasan yang berakar dan perkauman yang normal hanya membawa kepada insiden malang yang lebih lanjut, seperti di Amsterdam. Kekerasan dan kebencian dalam semua bentuk tiada tempat dalam sukan,” kata PFA dalam satu kenyataan.
Susulan itu, aksi Maccabi Tel Aviv dengan kelab Turkiye, Besiktas yang sepatutnya diadakan pada 28 November di Istanbul akan diadakan di venue neutral.