Fairuz Zakaria Berkelana Ke Brunei DPMM
MakanBola
Penang FC

Bekas pemain pertahanan Penang FC, Fairuz Zakaria sah menyertai Brunei DPMM FC untuk kempen musim 2025/26.

Perpindahan bek kiri berusia 27 tahun itu disahkan pengurusan kelab berkenaan menerusi satu pengumuman di laman sesawang rasmi mereka.

“Fairuz Zakaria sudah bersetuju untuk menyertai DPMM FC untuk saingan Liga Super Malaysia musim 2025/26,” kata kelab dalam satu kenyataan.

“Pemain Brunei dan Malaysia dianggap pemain tempatan untuk DPMM FC untuk musim Liga Super di mana ia satu berita baik buat kami.

“Beliau menjadi pemain Malaysia pertama tersenarai dalam pasukan DPMM. Fairuz Zakaria, 27, kerap beraksi untuk Penang FC musim lepas dan DPMM berharap beliau akan tampil cemerlang bersama pasukan untuk musim hadapan,”

Fairuz merekodkan 23 penampilan dan tiga bantuan gol sepanjang bersama Sang Harimau Kumbang pada musim 2024/25.

Beliau menjadi sebahagian daripada 22 pemain yang tidak dikekalkan Penang untuk kempen musim hadapan.

Selain Fairuz, Penang turut mengucapkan selamat tinggal kepada Sikh Izhan Nazrel, Richmond Ankrah, Rodrigo Dias, Neto dan Syamer Kutty Abba.

Fairuz bukan satu-satunya pemain baru yang menyertai DPMM. Sebelum ini, kelab Brunei itu turut mendapatkan penyerang Indonesia, Ramadhan Sananta.