Piala AFF 2022 sudah berakhir beberapa minggu lepas dengan Thailand muncul juara edisi kali ini. Hari ini, AFF mengumumkan kesebelasan terbaik kejohanan dengan bekas penyerang Terengganu, Faisal Halim menjadi sebahagian daripadanya.
Pengumuman ini dibuat AFF menerusi laman media sosial rasmi Piala AFF 2022 hari ini.
Faisal yang mengetuai cabaran Harimau Malaya dalam Piala AFF 2022 menunjukkan kelincahannya memburu gol dengan menyumbat empat gol. Ini meletakkannya sebagai penjaring ketiga terbanyak kejohanan di belakang Teerasil Dangda (Thailand) dan Nguyen Tien Linh (Vietnam).
Kecekapan Dang Van Lam mengawal gawang Vietnam menjadikan dia sebagai penjaga gol terbaik edisi kali ini. Sementara pertahanan terbaik Piala AFF 2022 diketuai bek tengah JDT dan Indonesia, Jordi Amat.
Kelibat Theerathon Bunmathan, Sarach Yooyen dan Nguyen Hoang Duc dalam kesebelasan terbaik Piala AFF 2022 sudah dijangka. Ketiga-tiganya menjadi tonggak utama Thailand dan Vietnam yang merupakan finalis kejohanan.
Sebaik saja ia disiarkan, ia mendapat maklum balas positif ramai pihak kerana Faisal menjadi satu-satunya wakil negara dalam kesebelasan terbaik Piala AFF 2022.
Ini sudah pasti menjadi pembakar semangat buat pemain baru Selangor itu untuk tampil lebih menyerlah dalam saingan Liga Super yang bakal bermula pada 24 Februari ini.