Kelincahan Faisal Halim Jadi Mimpi Ngeri Buat Kedah

Faisal Ganu Kelincahan Faisal Halim Jadi Mimpi Ngeri Buat Kedah
Terengganu FC

Pemain sayap pasukan terengganu FC, Faisal Halim sekali lagi menjadi watak penting buat pasukan apabila beliau berjaya membantu Terengganu untuk mencatatkan kemenangan ke atas Kedah Darul Aman dengan keputusan 1-0.

Bintang muda berusia 24 tahun itu turun dalam kesebelasan utama pasukan dan bergandingan bersama-sama Kpah Sherman dan juga Faiz Nasir jelas menyukarkan barisan pertahanan pasukan pelawat sepanjang 90 minit permainan.

Beliau mendominasi bahagian kanan dengan cukup baik apabila gerakan lincahnya sering memperdaya lawan untuk melakukan kesilapan.

Bermula seawal minit pertama permainan, pemain kelahiran Pulau Pinang ini memulakan gerakan untuk menyerang kubu pasukan Hijau Kuning dengan hantaran lolos kepada Kpah Sherman sebelum rembatan beliau berjaya dihalang oleh Ifwat Akmal.

Tidak terhenti di situ, kelibat pemain yang mesra disapa Mickey ini terus menghantui Azmeer Rais yang gagal membaca gerakannya sebelum melepaskan satu hantaran lintang.

Peluang ini tidak dipersiakan oleh rakan sepasukan, faiz Nasir yang meluru masuk untuk melakukan satu tandukan ke bahagian kanan gawang Kedah.

Faisal juga terus mencipta beberapa lagi peluang pada babak pertama terutamanya buat Kpah yang sering melakukan percubaan untuk menggandakan kedudukan buat Terengganu.

Bekas pemain Sri Pahang ini juga berpeluang menggandakan kedudukan namun rembatannya berjaya dihalang barisan pertahanan Kedah yang lebih berwaspada.

Kelebihan satu gol itu jelas sudah mencukupi buat pasukan kendalian Nafuzi Zain untuk melangkah ke pusingan berikutnya.