Tonggak Selangor FC, Faisal Halim mendedahkan imej hasil imbasan sinar-X tentang keadaan hidungnya yang patah.
Terdahulu, Faisal telah disiku tanpa sengaja oleh pertahanan import PDRM FC, Friday Obilor ketika pertemuan Liga Super di Stadium MBPJ melibatkan pasukan Selangor dan juga The Cops.
Insiden yang berlaku pada minit ke-54 menyaksikan Faisal yang ingin melarikan bola di kawasan tengah padang telah pun dihalang oleh Obilor sebelum sikunya terkena hidung pemain Selangor itu.
Oleh disebabkan itu, pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi bergegas membawa keluar Faisal Halim untuk mendapatkan rawatan lanjut di luar padang bersama doktor kelab selepas itu.
Perkembangan terkini menyaksikan Faisal Halim memuat naik dua keping gambar di Instastory yang memaparkan keadaan hidung beliau secara luaran beserta juga hasil imbasan sinar-X.
Berdasarkan foto yang dimuat naik oleh Faisal, jelas kelihatan keadaan hidung beliau mengalami kecederaan fizikal ketara dengan luka kecil dan bahagian bawah yang memperlihatkan kesan lebam.

Bukan itu sahaja, foto hasil imbasan sinar-X yang dimuat naik oleh Faisal pada tengah malam menguatkan indikasi bahawa kecederaan ini membabitkan keretakan pada struktur tulang hidung.

Laporan kesihatan daripada pihak perubatan Selangor masih belum diumumkan, dan tak diketahui sama ada kecederaan yang menimpa Faisal ketika ini serius mahupun sebaliknya.