Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim optimis untuk kekal fokus terhadap tugas bersama skuad kebangsaan meskipun dikaitkan dengan pelbagai isu di luar padang.
Dalam satu temubual ketika sesi latihan hari ini, bintang berusia 25 tahun itu kelihatan begitu bermotivasi untuk membantu skuad kebangsaan.
Bekas bintang Terengganu ini bagaimanapun tidak berselindung untuk mengakui bahawa dirinya sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran.
Beliau tidak merasakan ia menjadi penghalang sebaliknya mahu kekal memberikan persembahan yang terbaik di atas padang.
“Saya tetap dengan kerja saya, saya jalankan tanggungjawab saya. Awak kacaulah saya macam mana pun, saya tak pernah nak memberontak atau down ke apa.”
“Saya tahu sebab saya mampu menggalas tanggungjawab itu. Tapi janganlah hari-harinkan,” ujar Faisal kepada Harimau Malaya dalam keadaan berseloroh.
Faisal juga berharap agar sokongan padu daripada para penyokong Malaysia kekal membara sungguhpun beliau kini tidak lagi beraksi buat skuad Peteh.
Ketajaman pemain sayap licik ini sudah tentu menjadi taruhan Pan-gon apabila beliau kini menjadi antara pemain tempatan paling banyak menjaringkan gol.
Faisal sudah pun meledak 7 gol pada musim ini sungguhpun melalui permulaan musim yang sukar sementara mencatat 6 bantuan gol selepas 14 perlawanan Liga Super.
Khidmat beliau dijangka menjadi pilihan Kim Pan-gon untuk berdepan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea di Gong Badak pada 14 dan 20 Jun ini.