Faisal Halim Terhutang Budi Dengan Mukhairi Ajmal

Faisal Halim Selangor FC 1 1 Faisal Halim Terhutang Budi Dengan Mukhairi Ajmal
Selangor FC
Azim Noor @mohdazim45
9:30pm 09/03/2023

Selepas menyertai Selangor dari Terengganu musim ini, Faisal Halim tampak semakin menyesuaikan diri dengan pasukan barunya itu. Tetapi penyerang Harimau Malaya itu terhutang budi dengan rakan sepasukan, Mukhairi Ajmal kerana sudi melepaskan nombor tujuh untuk nombor jersi Selangornya.

Hal ini didedahkan Faisal atau mesra dipanggil Mickey dalam temubual eksklusif bersama Zulhelmi Zainal Azam untuk Astro Arena semalam.

Bekas pemain sayap Sri Pahang itu mendedahkan sebelum menandatangani kontrak bersama Merah Kuning, nombor jersi merupakan antara perkara yang ditanyanya terlebih dahulu.

Ini kerana nombor tujuh merupakan nombor yang digunakannya semasa bersama skuad Tok Gajah dan Penyu. Dan itu diharap dapat diteruskan semasa bersama Red Giants.

“Ya, pertama sekali, sebelum saya menandatangani kontrak bersama Selangor, nombor jersi merupakan perkara pertama yang saya tanya. Bukan gaji yang saya mula-mula tanya.

“Saya tanya, ‘Macam mana kalau Mickey datang ke Selangor, jersi nombor tujuh Mickey boleh dapatkah?’ Dr Johan (Kamal Hamidon, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor) beritahu saya, ‘Awak kena bincang dengan (Mukhairi) Ajmal.’

“Saya bincang dengan Ajmal, mula-mula dia tak nak lepas. Tapi lepas itu, dia kata, ‘Kalau nak, belanjalah sikit.’ Kita berbincang itu secara berguraulah.

“Tapi saya pun hormati Ajmal kerana sanggup melepaskan jersi nombor tujuh untuk diberikan kepada saya. Saya berterima kasih kepada Ajmal dan saya dapat nombor tujuh, saya tandatangan kontrak bersama Selangor,” katanya.

Faisal sudah pasti mahu membalas kepercayaan Selangor terutama Mukhairi dengan menjaringkan banyak gol. Dan itu diharap dapat dicapai dalam perlawanan Liga Super seterusnya di mana Selangor menentang Penang pada Ahad ini.