Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim merupakan antara 94 penerima Darjah dan Bintang Kebesaran sempena ulang tahun keputeraan ke-79 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.
Terdahulu, keberangkatan baginda ke Balairung Seri Istana Alam Shah diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Faisal merupakan sebahagian daripada 17 penerima Darjah Kebesaran Ahli – Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS).
Sebaik menerima pingat berkenaan, pemain sayap berusia 26 tahun itu mengakui merasa terharu dengan penghargaan yang diberi. Faisal melihat pingat berkenaan bakal membakar semangatnya untuk terus memberi aksi terbaik buat Merah Kuning.
“Merafak sembah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, diatas pengurniaan anugerah ini.
“Patik dengan rendah diri merasa penuh syukur dan terharu menerima penghargaan ini. Saat ini akan patik kenang selamanya dan pastinya akan menjadi satu motivasi baru untuk patik terus bekerja keras dan memberikan yang terbaik buat semua. Daulat Tuanku,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Kegemilangan Sukan Selangor (AKS) kepada pemain boling negara, Natasha Mohamed Roslan.