Pertahanan Kelantan United FC, Mohd Faisal Rosli mahu membalas kepercayaan jurulatih Kelantan United FC, Syamsul Saad sekaligus mahu meletakkan pasukan ke satu peringkat yang lebih baik musim ini.
Pemain yang berusia 31 tahun itu mengakui terkejut apabila diberi lilitan kapten pasukan kerana beliau masih baharu dalam pasukan, namun Faisal ambil ini sebagai pengalaman baharu buatnya.
Menurutnya, jurulatih KUFC, Syamsul Saad percaya akan tugas yang berat untuknya berdasarkan penilaian dari segi pengalaman yang dimiliki ketika beliau berada di pasukan Pahang dahulu.
“Ini pertama kali dalam karier, saya diberi peranan menjadi ketua pasukan dan satu perkara yang tidak pernah berlaku semasa di Pahang, satu pengalaman baharu buat saya,” ujarnya
“Tambahan saya ini pemain baharu dalam pasukan, saya tidak fikir saya layak pada mulanya kerana masih ramai pemain lain yang telah lama dengan pasukan.”
“Mungkin jurulatih (Syamsul Saad) melihat kepada pengalaman yang dimiliki semasa saya di Pahang membuatkan dia yakin berikan tugasan ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Faisal turut menjelaskan peranan sebagai ketua pasukan bukanlah mudah seperti disangka terutama dalam meningkatkan semangat rakan sepasukan dan beliau akui banyak perkara yang perlu dipelajari.
“Banyak perkara yang saya kena belajar untuk menjadi ketua pasukan kerana tugas ini bukan mudah terutama dalam meningkatkan moral rakan sepasukan selain bertindak sebagai wakil mereka jika ada masalah di atas padang.”
“Terima kasih atas kepercayaan diberikan oleh jurulatih dan saya akan balas kepercayaan yang diberikan beliau untuk membawa pasukan ke tahap lebih baik pada musim 2022,” katanya kepada MFL.