Faktor Komersial Pengaruhi Pemilihan Aksi Persahabatan Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Faktor komersial termasuk kewangan mempengaruhi usaha Harimau Malaya untuk mendapatkan aksi persahabatan berkualiti.

Perkara ini digariskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Friend berpandangan bukan mudah untuk membawa pasukan yang memiliki nama besar untuk datang ke Malaysia. Ini kerana pasukan-pasukan sebegini mengenakan kos yang tinggi untuk setiap aksi persahabatan.

“Persekutuan bola sepak terkenal mahukan banyak duit (untuk pasukan) bermain untuk perlawanan sebegini,” katanya.

“Sekarang ia permainan kewangan berbanding pada masa dulu tanpa mengira kelab yang memiliki sejarah seperti Manchester United dan Barcelona untuk datang ke Malaysia.

“Ada banyak persaingan di peringkat global untuk aksi-aksi komersial seperti ini.”

Selain faktor komersial, Friend melihat skuad negara juga perlu lebih strategik dalam memilih lawan.

Ini kerana sebarang keputusan perlawanan persahabatan boleh mempengaruhi pungutan mata ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Tapi saya faham kena ada strategi untuk skuad kebangsaan berkenaan aksi persahabatan. Objektif kita ialah menaikkan ranking FIFA, kita kena strategik dalam memilih siapa lawan kita,” ujarnya.

“Bermain menentang Argentina bukan satu strategi yang tepat. Kita kena cari lawan yang tepat untuk membantu persiapan kita hadapi kelayakan Piala Asia 2027 dan itu objektif kita.”

Tahun 2024 menyaksikan Syria, New Zealand, Laos dan India sebagai lawan skuad negara untuk aksi persahabatan antarabangsa.

Harimau Malaya bakal menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 25 Mac ini.