Faliq Firdaus: Keseimbangan Sebenar Bila Pemain Tempatan Isi Kuota Import
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus menyambut baik perubahan yang dibuat MFL berhubung kuota pemain import di atas padang.

MFL baru-baru ini memaklumkan kuota pemain import di atas padang ialah enam orang dengan tiga lagi di bangku simpanan.

MFL turut memaklumkan kuota 15 pemain import untuk semua kelab Liga Super bagi menghadapi musim 2025/26 dikekalkan.

Faliq melihat ini sebagai tanda MFL cakna dengan pembangunan bola sepak negara terutama pemain muda.

Ini kerana MFL cuba meraih keseimbangan antara mengekalkan daya saing Liga Super dan membuka lebih banyak ruang untuk pembangunan pemain tempatan.

“Dengan enam pemain import dibenarkan di atas padang, cabaran utama ialah memastikan pemain tempatan tidak hanya menjadi pelengkap kuota. Mereka perlu bersaing secara merit dan berada dalam persekitaran teknikal yang mendidik dan mencabar.

“Jika tidak disertai dengan pelaburan serius dalam pembangunan pemain tempatan, maka pengurangan satu slot import tidak akan membawa impak besar,” katanya.

Faliq turut berharap perubahan ini menyuntik semangat pemain tempatan terutama pemain muda untuk berani merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Ini kerana pada hemat beliau, keseimbangan sebenar hanya tercapai apabila pemain tempatan dapat mengisi slot pemain import.

“Di pihak NSFC, kami komited untuk beri kepercayaan kepada pemain tempatan yang menunjukkan mentaliti kompetitif.

“Kami tidak mahu mereka berada dalam kesebelasan utama hanya kerana ada ruang, tetapi kerana mereka layak. Keseimbangan sebenar bermula apabila pemain tempatan mampu mengambil tempat pemain import, bukan sekadar diberi tempat,” ujarnya.

Negeri Sembilan kini sibuk membuat persiapan pra-musim bagi menghadapi saingan liga yang akan bermula pada Ogos ini.

Sang Rusa memiliki ramai pemain baharu seperti Luqman Hakim Shamsudin, Jovan Motika, Khuzaimi Piee dan Azri Ghani. Pasukan itu turut menerima sentuhan bekas pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil.

Negeri Sembilan memulakan aksi pra-musim dengan menentang pendatang baru Liga A1 Semi-Pro, Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) pada 12 Julai ini.