‘Falsafah’ Tatsuma Yoshida Tinggalkan Impak Besar Kepada Singapura
Dunia
Matthew Mohan / Channel News Asia
Advertisements

Tidak lama selepas membimbing Singapura ke separuh akhir Piala AFF, Tatsuma Yoshida membuat kejutan dengan mengumumkan perletakan jawatan sebagai jurulatih negara republik itu. Keputusan berat itu dibuat atas sebab keluarga walaupun mempunyai baki kontrak selama setahun. Walaupun memahami alasan Yoshida, komuniti bola sepak Singapura tertanya-tanya apa perancangan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) selepas ini.

Ini kerana perletakan jawatan jurulatih Jepun itu dibuat dua bulan selepas pengarah teknikal FAS Joseph Palatsides meletak jawatan secara mengejut. Tambah mengejutkan, ia dibuat lima bulan selepas bekas penolong jurulatih Melbourne City itu memeterai kontrak baru dengan FAS sehingga 2023.

Bagi bekas jurulatih Balestier Khalsa, Khidhir Khamis, situasi ini langsung tidak membantu pembangunan bola sepak Singapura. Ini kerana apabila jurulatih dan pengarah teknikal FAS meletak jawatan, ini bermakna sebarang usaha pembangunan yang dirancang tidak kesampaian. Tambah Khidhir lagi, sudah tiba masanya FAS meminta mana-mana calon jurulatih dan pengarah teknikal untuk memberi komitmen sekurang-kurangnya untuk lima tahun.

Advertisements

Yang pasti, mana-mana jurulatih yang dilantik sebagai pengganti Yoshida sedar impak yang dibawanya kepada Singapura. Bagi jurulatih Geylang International Mohd Noor Ali, beliau memuji sikap jurulatih Jepun itu yang tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman bersama jurulatih-jurulatih Liga Perdana Singapura (SPL). Malah, ada sesetengah jurulatih SPL dijemput melihat sesi latihan Singapura yang dikendalikannya.

Bagi kapten Singapura, Hariss Harun, beliau merasakan pasukan kebangsaan dilihat lebih maju dari segi kemahiran. Ini dapat dilihat menerusi falsafah Yoshida yang menekankan aspek penguasaan bola selepas menjadi jurulatih Singapura pada 2019. Corak permainan sebegini membantu Singapura melakar kemenangan 2-1 ke atas Palestin dan Singapura serta mengikat Jordan seri tanpa jaringan pada tahun tersebut.

Tetapi situasi pandemik Covid-19 mengakibatkan pasukan kebangsaan tidak dapat berlatih bersama atau bermain perlawanan persahabatan antarabangsa selama 18 bulan. Ini mengakibatkan Singapura menjadi mangsa belasahan Arab Saudi, Uzbekistan dan Palestin dalam kelayakan Piala Dunia pada Jun lepas.

Advertisements

Namun begitu, satu perkara yang sentiasa ditekankan Yoshida kepada anak-anak buahnya ialah ketahanan mental. Tambah Hariss lagi, jurulatih Jepun itu sentiasa menggalakkan mereka bersikap berani bila di atas padang. Mentaliti tersebut dilihat amat membantu bila berdepan lawan yang lebih baik dan kunci kepada kejayaan separuh akhir Piala AFF baru-baru ini.

Di sebalik rasa kecewa berkenaan pemergian Yoshida, bekas pemain Singapura R. Sasikumar melihat ia sebagai satu permulaan baru. Jika Singapura mahu menjadi kuasa bola sepak yang disegani di rantau ini, maka ia perlu diperlihatkan menerusi perlantikan individu berkaliber sebagai jurulatih dan pengarah teknikal. Jika itu memerlukan mereka mengupah yang terbaik, maka ia harus dilakukan bagi meneruskan kelangsungan pembangunan bola sepak negara itu.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram