Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menganggap keputusan pengadil, Nazmi Nasaruddin ketika mengendalikan aksi Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah tepat.
Oleh yang demikian, FAM meminta agar semua pihak terutamanya penyokong untuk menghormati keputusan yang dibuat oleh seseorang pengadil dan tidak membuat komen mengikut emosi.
Peminat juga perlu memahami undang-undang bola sepak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan protokol Video Bantuan Pengadil (VAR).
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM memaklumkan bahawa penggunaan teknologi VAR dalam saingan Liga Malaysia yang bermula awal musim ini sangat membantu para pengadil dalam membuat keputusan yang tepat.
“Setakat sejumlah 42 perlawanan Liga Super dan Piala FA bagi musim 2024-2025 ini, penggunaan teknologi VAR serta prestasi pengadil adalah pada tahap sangat cemerlang.
“Ini termasuk perlawanan Separuh Akhir 1 Piala FA, Kedah Darul Aman FC menentang Johor Darul Ta’zim di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 19 Julai lalu yang mana keputusan tidak memberikan sepakan penalti kepada Kedah Darul Aman FC oleh pengadil, Nazmi Nasaruddin adalah sangat tepat.
FAM melihat suara-suara yang dilontarkan oleh peminat terhadap keputusan tersebut adalah berdasarkan emosi semata-mata.
“FAM mendapati terdapat beberapa reaksi dan komen-komen yang tidak sihat dilakukan oleh para peminat dan penyokong termasuk juga pemain dan bekas pemain.
“Rata-rata komen mereka hanya dibuat mengikut emosi dan tidak memahami undang-undang bola sepak FIFA dan protokol VAR.
“FAM berharap semua pihak perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh seseorang pengadil dan jangan membuat komen-komen dengan hanya mengikut emosi atau tanpa memahami undang-undang bola sepak FIFA dan protokol VAR,” kata Dato’ Sivasundaram menerusi satu kenyataan media, hari ini.
FAM juga ingin menekankan bahawa setiap program pembangunan pengadil dan pengoperasiannya adalah berasaskan kepada penanda aras yang ditetapkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan FIFA.
“Pelaksanaan dan operasi Video VAR di Liga Malaysia adalah berasaskan kepada protokol VAR FIFA dan ia diiktiraf oleh FIFA.
“FAM sentiasa mengutamakan ketepatan keputusan dan prestasi pengadil yang optimum daripada setiap pengadil yang mengadili perlawanan Liga Malaysia. Keputusan sesuatu perlawanan itu sama ada menang, seri atau kalah, ia datang daripada pasukan itu sendiri.
“FAM juga memiliki sistem pengajaran dan pemantauan prestasi pengadil yang setaraf dengan piawaian antarabangsa yang melibatkan pembangunan dan pengajaran yang berfokus pada ‘makro- mikro’ seperti ‘Pre-match briefing’, ‘Post match debriefing’, ‘online post match debriefing’, video editing and analysis’, ‘VAR Refresher Course’ dan sebagainya,” jelas Dato’ Sivasundaram.
Beliau turut memberi peringatan kepada semua pihak agar dapat menghormati keputusan pengadil.
Setiap keputusan pengadil di Liga Malaysia adalah muktamad mengikut undang-undang bola sepak FIFA iaitu Undang-undang 5 di muka surat 65.
“Mengikut perkara tersebut, keputusan pengadil mengenai fakta yang berkaitan dengan permainan, termasuk sama ada gol dijaringkan atau tidak dan keputusan perlawanan adalah muktamad. Keputusan pengadil dan semua pegawai perlawanan lain, mesti sentiasa dihormati.
“Mana-mana pemain atau pegawai pasukan juga tidak boleh membuat komen terbuka di media sosial atau apa jua saluran media berkaitan dengan keputusan pengadil.
“FAM tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib sekiranya mana-mana pihak yang menyoal kredibiliti dan keputusan pengadil. Ini kerana setiap pengadil, Penolong Pengadil, Pengadil VAR, AVAR dan ‘Replay Operator’ yang dilantik oleh FAM adalah individu yang bertauliah dan telah diiktiraf oleh FIFA.
“Pasukan-pasukan yang bertanding serta media disaran merujuk kepada FAM bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan protokol VAR, undang-undang bola sepak serta sebarang jawapan berkaitan dengan keputusan pengadil,” ujarnya.
Undang-undang bola sepak FIFA di muka surat 144 juga jelas menerangkan bahawa seseorang pengadil utama adalah individu yang akan menentukan keputusan terakhir dan kesemua pembantunya termasuk VAR hanya berperanan sebagai pembantu dalam proses membuat keputusan sekiranya pengadil melakukan satu kesilapan atau terdapat insiden yang jelas dan terlepas pandang.
“FAM melalui Unit Pengadil telah diamanahkan untuk melatih setiap pengadil. Setiap insiden dan prestasi akan dinilai dan diaudit oleh panel instruktur dalaman dan dirujuk kepada instruktur FIFA terpilih dari luar negara,” jelas Sivasundaram.