FAM Dedah Sebab Mats Deijl Tak Boleh Wakili Malaysia
MakanBola
Go Ahead Eagles
Sponsors

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendesahkan sebab pertahanan Go Ahead Eagles, Mats Deijl tak boleh mewakili Harimau Malaya.

Menerusi satu kenyataan oleh FAM, pemain berusia 27 tahun itu didapati hanya mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang beliau dan bukannya melalui datuk atau nenek sepertimana yang ditetapkan dalam syarat FIFA.

Ad
Sponsors

Mats Deijl sebelum ini menunjukakn minat untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia dan FAM telah dimaklumkan bahawa pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia.

Ad

FAM sejak dari 27 Jun 2024 telah pun menghubungi secara rasmi kelab, ejen dan pemain bagi membincangkan mengenai kelayakan beliau untuk bermain dengan pasukan kebangsaan Malaysia.

Pemain ini telah pun memberikan dokumen-dokumen berkaitan susur galur keluarganya yang menunjukkan beliau mempunyai hubung kait dengan negara Malaysia termasuk sijil lahir beliau, ayahnya, datuknya (sebelah ayah) serta pengesahan kelahiran moyangnya (sebelah ayah) iaitu ibu kepada datuk pemain tersebut.

Ad

Hasil semakan mendapati bahawa pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang (ibu kepada datuk pemain) yang telah lahir di Singapura pada 24 Jun 1893, ketika Singapura merupakan sebahagian dari Tanah Melayu ketika itu.

Ad

Merujuk kepada Artikel 8 Peraturan-Peraturan Yang Mengawal Permohonan Statut FIFA berkaitan kelayakan mewakili pasukan kebangsaan, (Regulations Governing The Application Of The Statutes), mana-mana pemain boleh mewakili sesebuah negara jika pemain tersebut memenuhi syarat seperti berikut.

Ad

Pertama, pemain itu lahir di negara tersebut; atau kedua, ibu pemain dan ayah pemain lahir di negara tersebut; atau ketiga, datuk dan nenek pemain lahir di negara tersebut; atau keempat, pemain itu menetap di negara tersebut melebihi tempoh lima tahun.

FIFA menerusi satu surat kepada FAM mengesahkan bahawa pemain ini tidak dapat mewakili pasukan kebangsaan Malaysia disebabkan darah keturunan Malaysia adalah daripada moyangnya (ibu kepada datuk pemain) dan bukan di peringkat datuk atau nenek pemain sepertimana syarat ditetapkan oleh FIFA.

FAM bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada pemain ini atas minat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh beliau untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia, namun ia tidak dapat direalisasikan.

FAM juga sudah berhubung dengan beberapa pemain lain sepertimana yang dicadangkan atau dihebahkan di platform media sosial, namun setakat ini tiada yang positif terutama dari segi dokumen kesahihan pemain tersebut memiliki darah keturunan Malaysia yang melepasi syarat ditetapkan oleh FIFA.