Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) didakwa telah membatalkan tiga kejohanan besar untuk tahun 2026.
Ini berdasarkan foto petikan surat pekeliling badan induk itu berhubung pembatalan tiga pertandingan besar yang dikongsikan Arena Sukan.
Tiga kejohanan tersebut ialah Malaysia Futsal Cup (MFC), Kejohanan Futsal Lelaki Bawah 19 Tahun Kebangsaan dan Kejohanan Bolasepak Pantai Kebangsaan.
Sekiranya benar dakwaan ini, pembatalan saingan MFC dan Kejohanan Futsal Lelaki Bawah 19 Tahun Kebangsaan dilihat satu tamparan hebat kepada penggiat sukan futsal.
Ini kerana dua kejohanan ini bukan saja memberi pendedahan berkualiti kepada semua pasukan futsal yang bertanding.
Malah, Kejohanan Futsal Lelaki Bawah 19 Tahun Kebangsaan membantu mengenal pasti ramai pemain futsal muda berbakat. Ini terbukti apabila skuad futsal B-19 negara meraih tempat ketiga ASEAN Futsal Cup U-19.
Sehingga artikel ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada FAM berhubung dakwaan tersebut.