Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menjawab mengenai tempoh kontrak ketua jurulatih, Kim Pan-gon bersama Malaysia.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu sudah mula berkhidmat bersama Harimau Malaya sejak tahun 2022 dan membantu negara layak ke Piala Asia 2023 secara merit.
Malaysia juga memperagakan perjuangan hebat dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 sebelum namun tidak cukup untuk layak ke pusingan seterusnya.
FAM bagaimanapun kelihatan optimis untuk kekal bersama Pan-gon bagi menempuh beberapa lagi kejohanan penting selepas ini.
Skuad kebangsaan bakal menghadapi PestaBola Merdeka 2024 sekitar September terutamanya bagi menghadapi saingan Piala AFF dan juga Kelayakan Piala Asia 2027.
Menerusi satu kenyataan oleh Naib Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff bin Haji Mahadi yang menjelaskan bahawa FAM kini masih komited terhadap perancangan asal terutamanya ketika jurulatih itu masih memiliki kontrak bersama Malaysia.
“Setakat ini tiada perbincangan lain bersama Jawatankuasa Pengurusan Kebangsaan atau jurulatih sendiri. Kita akan mengikut kontrak yang sedia ada. Kita akan kekalkan kontraknya sampai tahun depan (2025) dahulu.
“Segala pertandingan yang bakal diharungi sebelum kontraknya tamat akan tetap dikendalikan oleh Kim Pan-gon, jelasnya ketika ditemui di Wisma FAM.
Misi besar skuad negara ketika ini adalah untuk mendapatkan tempat dalam Balang 1 sebelum undian aksi Kelayakan Piala Asia berlangsung hujung tahun ini.