Advertisements
FAM Letak Harapan Besar, Malaysia Gah Di Kejuaraan Futsal ASEAN
UltraSukan
UltraSukan
FA Malaysia

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Rosmadi Ismail percaya skuad futsal negara mampu menyerlah dalam Kejuaraan Futsal ASEAN 2024.

Selepas terkandas di peringkat kumpulan untuk edisi 2022, Malaysia berharap dapat bangkit untuk edisi 2024. Pasukan itu berada dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Thailand, Vietnam, Timor Leste dan Brunei.

Meskipun menyedari cabaran hebat yang bakal ditempuh anak buah Rakhpol Sainetngam, Rosmadi percaya skuad negara mampu layak ke peringkat separuh akhir.

“Kita perlu tampil dengan semangat juang yang tinggi serta keyakinan untuk menghadapi dua pasukan hebat dalam Kumpulan A iaitu Thailand dan Vietnam serta dua lagi pasukan, Timor-Leste dan Brunei.

“Sudah tentu sasaran awal kita adalah untuk muncul dua pasukan teratas Kumpulan A dan layak ke separuh akhir. Selepas itu, kita cuba beri cabaran yang lebih hebat untuk memastikan tempat ke final pada 10 November nanti,” katanya.

Daripada 16 pemain yang dipanggil Rakhpol untuk kejohanan kali ini, 14 daripadanya merupakan pemain tiga kelab gergasi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).

Abu Haniffa Hasan mengetuai kontinjen juara Divisyen 1, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC). Kapten Selangor FC, Khairul Effendy Mohd Bahrin pula mengetuai kumpulan naib juara divisyen berkenaan.

Sementara Harith Naim Nasir pula mengetuai trio pemain dari Pahang Rangers FC. Haiqal Hasnor dan Amir Hakim Rosle pula masing-masing mewakili Malaysian University FC dan Shah Alam City FC.

Rosmadi percaya kombinasi pemain-pemain ini merupakan yang terbaik untuk membantu skuad negara tampil lebih mantap untuk Kejuaraan Futsal ASEAN 2024.

“Skuad 14 pemain ke Kejuaraan Futsal ASEAN 2024 ini terdiri daripada gabungan tiga pasukan teratas MPFL dan MFC 2024 iaitu Johor Darul Ta’zim, Selangor FC dan Pahang Rangers FC. Jadi inilah pemain terbaik yang kita ada.

“Berdasarkan persiapan terakhir latihan pusat selama seminggu di Bangkok, para pemain telah menunjukkan kombinasi yang semakin baik termasuk pada dua perlawanan persahabatan menentang Australia dan Chonburi FC,” jelasnya.

Malaysia bakal membuka tirai kejohanan dengan menentang Brunei pada 3 November ini.