Menjelang saingan Piala Asia Bawah 23 (B-23) di Qatar pada April depan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menetapkan sasaran buat skuad bawah 23 Malaysia yang kini dibawah kendalian jurulatih baharu, Juan Torres Garrido.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, sasaran yang diletakkan kepada pasukan muda Malaysia itu adalah untuk melangkah ke separuh akhir.
Namun begitu, ianya bukanlah satu tugas yang mudah kerana Malaysia perlu terlebih dahulu melepasi saingan peringkat kumpulan dan juga peringkat suku akhir.
“Kalau kita lihat dari segi kelayakan untuk kita masuk (ke Olimpik), hanya empat pasukan (Asia) yang akan layak ke Olimpik, tiga tambah satu lagi pasukan. Satu pasukan itu kena playoff dengan benua lain.
“Jadi untuk kita berada di dua teratas (kumpulan), layak ke suku akhir. Selepas itu masuk ke separuh akhir. Harapan kita kalau boleh, kalau kita dapat masuk separuh akhir dah baik. Tapi sebelum itu kena lepasi dulu suku akhir,” jelas Hamidin dalam sidang media bersama Astro Arena.
Hamidin juga menjelaskan bahawa skuad bawah 23 tahun negara akan berlepas ke Qatar lebih awal untuk menjalani persiapan dan juga dua aksi persahabatan akan diatur untuk mempersiapkan pasukan dengan lebih baik sebelum memulakan saingan peringkat kumpulan Piala Asia B-23.
Untuk kempen Piala Asia B-23, Malaysia diletakkan di dalam kumpulan D bersama-sama Uzbekistan, Vietnam dan juga Kuwait.
Malaysia dijadualkan bertemu Uzbekistan untuk aksi pertama peringkat kumpulan pada 17 April sebelum menentang Vietnam pada 20 April. Kuwait akan menjadi lawan terakhir Malaysia di peringkat kumpulan dengan aksi yang akan berlangsung pada 23 April.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan menempah slot ke peringkat suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 April.