Advertisements
FAM Letak Sasaran Khas Buat Skuad B-23 Malaysia Di Qatar
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menetapkan sasaran realistik buat skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) menjelang kempen Piala Asia B-23 2024.

Sasaran yang diletakkan buat skuad Harimau Muda ialah layak ke peringkat suku akhir Piala Asia B-23.

Sasaran ini disifatkan realistik oleh Hamidin dengan mengambil kira kekuatan lawan yang beraksi dalam kejohanan tersebut termasuk tiga pasukan gergasi Asia, Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi.

Selain itu, ini juga merupakan satu cabaran buat anak buah Juan Torres Garrido untuk mengulangi pencapaian layak ke suku akhir yang dicapai pada edisi 2018.

“Dalam peringkat Asia ini, di peringkat separuh akhir ini formatnya ialah 3+1. Tiga pasukan layak secara automatik, satu lagi pasukan kena lawan pasukan peringkat benua iaitu Afrika (untuk penentuan play-off).

“Kalau ikut perkiraan saya dari Piala Dunia dan Piala Asia terakhir ini, tiga pasukan iaitu Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi memiliki sembilan atau 10 pemain yang beraksi dalam Piala Dunia.

“Jadi, apa maksudnya? Tahap mereka itu ialah tahap yang tinggi. Kalau nak buat kejutan dengan pasukan lain macam Uzbekistan, itu mungkin boleh. Tetapi yang penting ialah saya nak pasukan bola sepak fikir untuk sampai ke suku akhir dulu.

“Maknanya mereka akan lawan pada 17, 20 dan 23 haribulan menentang Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait. Peluang itu ada.

“Kalau nak sasar ke Olimpik, saya kata kita buat satu persatu dulu. Sebab pada saya, layak ke suku akhir pun ialah satu pencapaian yang baik,” katanya dalam sidang media selepas selepas tamat mesyuarat pengurus pasukan ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 seperti dilaporkan Harimau Malaya.

Malaysia bakal bersaing dalam Kumpulan D bersama Vietnam, Kuwait dan Uzbekistan. Harimau Muda sudah mula menjalani latihan sejak 17 Mac lalu.

Skuad negara bakal memulakan persiapan Piala Asia B-23 dengan dua aksi persahabatan menentang India pada 22 dan 25 Mac ini.