Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan merehatkan pengadil dan pegawai VAR aksi Liga Super membabitkan Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Keputusan ini diumumkan oleh Timbalan Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S. Sivasundaram.
Ini selepas Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil memuktamadkan analisis dua insiden dalam perlawanan tersebut.
Dua insiden tersebut ialah insiden membabitkan Feroz Baharudin dan Clayton dalam kotak penalti pada minit ke-38 dan pertelagahan Arif Aiman Hanapi dan Tommy Mawat pada minit ke-84.
“Analisa kedua-dua insiden tersebut dibuat berpandukan Undang-undang Permainan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan mendapati keputusan pengadil perlawanan dan Pengadil VAR adalah kurang tepat.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengadil FAM telah mengambil keputusan untuk merehatkan pengadil dan pengadil VAR terbabit sebanyak dua perlawanan daripada sebarang tugas pengadil di Liga Profesional dan Liga Amatur.
“Selain direhatkan untuk dua perlawanan, kedua-dua pengadil tersebut juga akan dirujuk ke fasa pemulihan dan pemurnian sebelum diberikan tugas pengadil,” katanya dalam satu kenyataan.
Sivasundaram turut melihat hukuman bersifat mendidik lebih sesuai untuk membantu pengadil yang menunjukkan prestasi lemah.
Ini kerana meskipun mereka perlu menjalani hukuman, pengadil yang terkesan juga melalui sesi kaunseling dan menerima pendidikan tambahan. Pendekatan ini bakal membantu mereka menjadi lebih baik selepas ini.
“FAM juga perlu berhati-hati dengan tahap hukuman yang lebih lama dan berat kerana Liga Profesional negara menggunakan teknologi VAR, yang mana semua pegawai perlawanan yang dilantik wajib memiliki lesen VAR.
“Dalam situasi ini, hukuman berprinsip pendidikan adalah amat sesuai untuk memastikan perjalanan liga kita berjalan dengan lebih lancar.
“Polisi seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia diguna pakai di peringkat FIFA, AFC dan kebanyakan liga-liga yang ternama di dunia,” jelasnya.
Sivasundaram turut berharap para pemain dapat mengawal emosi bagi memastikan sesebuah perlawanan dapat berakhir tanpa sebarang insiden.