Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad kurang berpuas hati dengan mutu serangan pasukan itu meskipun meraih kemenangan 6-0 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Ini kelihatan pada separuh masa pertama aksi tersebut di Temerloh pada 8 April lalu. Jentera serangan Sri Pahang dilihat buntu menembusi barisan pertahanan pelawat.
Gawang Kedah hanya bocor pada minit ke-36 menerusi Sergio Aguero. Aleksandar Cvetkovic memastikan Sri Pahang mendahului 2-0 sehingga rehat.
Separuh masa kedua menyaksikan T. Saravanan, Aguero, Stefano Brundo dan gol sendiri Safwan Suhaimi memastikan Tok Gajah menang bergaya di Temerloh.
Meskipun begitu, Fandi melihat mutu serangan Sri Pahang perlu dipertingkatkan terutama menjelang final Unifi Piala Malaysia pada 26 April ini.
“Alhamdulillah, kita dapat meraih tiga mata. Tetapi pada babak pertama, (jentera serangan) kita masih tidak berfungsi dengan baik,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
“Setelah membuat pertukaran sedikit, kita lebih baik main dan dapat dominasi babak kedua. Babak pertama, 10 hingga 15 minit terakhir baru kita menguasai permainan itu pasal bola dikuasai pasukan Kedah.
“Tapi saya lihat kita (kerap) kehilangan bola (pada) babak pertama. Terlalu banyak, 15 kali kalau saya kira. Jadi, aspek di situ kita harus perbaiki.”
Keputusan ini menyaksikan Sri Pahang kini di tangga kesembilan dengan 23 mata. Kejayaan ini dijangka membakar semangat Tok Gajah untuk mengharungi baki dua aksi liga.
Sri Pahang bakal bertemu dengan Perak FC pada 12 April. Ini disusuli aksi terakhir liga menentang Penang FC pada 19 April.