Jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad enggan mengulas lanjut berkenaan pengadil perlawanan mahupun rekod lalu ketika tumbang di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala Malaysia.
Pada aksi final itu, Sri Pahang bermain cemerlang apabila berjaya memimpin permainan seawal minit ke-15 sebelum dua gol oleh Bergson dan Arif Aiman memastikan gelaran juara buat JDT.
Walau bagaimanapun, perlawanan epik ini dicemari dengan insiden layangan dua kad merah masing-masing buat Park Jun-heong dari JDT dan pemain Sri Pahang, Sergio Aguero di awal aksi.
Menurut Fandi Ahmad ketika di sidang media, pelantikan pengadil perlawanan tiada kena mengena dengan beliau malah tidak mengetahui berkenaan rekod lampau pengadil ini.
”Itu tiada kena mengena dengan saya, bukan tugas saya kerana sesiapa pun yang melantik (pengadil) ini, mereka perlu tahu lebih dalam tentang ini (rekod lampau pengadil),” kata Fandi Ahmad.
Beliau tegaskan hanya menjalankan tugas sebagai seorang jurulatih tanpa mahu mengulas lebih lanjut tentang pengadil pada aksi tersebut kerana tidak mempunyai sebarang hak.
”Saya cuma jurulatih biasa seperti orang lain tetapi itu bukan tugas saya untuk memberi komen tentang pengadil,” tegas Fandi lagi.
Untuk rekod, pengadil perlawanan semalam, Razlan Joffri Ali memiliki rekod buruk pernah direhatkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada November lalu.