Legenda Singapura, Fandi Ahmad berpotensi membimbing KL City FC untuk kempen musim 2025/26.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar memaklumkan kelab itu sedang meneliti beberapa calon menggantikan jurulatih Croatia, Miroslav Kuljanac.
Beliau turut memberi bayangan salah seorang calon jurulatih baharu KL City ialah legenda kelab itu yang pernah menjulang trofi Piala Malaysia.
“Kita ada bekas pemain yang pernah bermain untuk Kuala Lumpur. (Beliau) pernah menang Piala Malaysia,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
“Kita tak tahu (siapa calon yang akan dipilih), kita akan putuskan dalam mesyuarat (KLFA) yang akan datang.”
Kini, wartawan Astro Arena, Fina Nasrom memaklumkan jurulatih Sri Pahang FC itu sedang mengadakan perbincangan dengan pengurusan pasukan Lembah Klang itu.
“Fandi Ahmad calon utama pengganti Miroslav Kuljanac, bakal kemudi KL City musim depan jika capai kata sepakat.
“Difahamkan proses rundingan masih berlangsung dengan penetapan bayaran gaji sudah berada dalam perbincangan,” katanya di X.
Fandi bukan asing dengan KL City kerana pernah beraksi untuk kelab itu dari 1986 hingga 1989. Tempoh itu menyaksikan beliau membantu pasukan itu meraih gelaran juara liga pada 1988 dan Piala Malaysia sebanyak tiga kali.
Fandi juga turut melakar beberapa rekod termasuk penjaring terbanyak sepanjang zaman KL City dengan 67 gol. Rekod itu kini dipintas penyerang Harimau Malaya dan kapten kelab, Paulo Josue.